Thursday, January 10, 2013

Udin dah sekolah!!!!!!!!!

Akhirnya Udin pergi sekolah. Sejak Udin berusia 5 tahun lagi, puas kami pujuk supaya Udin pergi sekolah. Tapi kerasnya hati Udin ketika itu..... Tak mau sungguh-sungguh dia. Kami rasakan memang perlu untuk Udin awal ke sekolah, tetapi oleh kerana tidak mahu terlalu memaksa kami turutkan kehendak anak bujang sorang ni. Betapa mencabarnya melayan kerenah Udin, kesekolah dia tak mahu..... potong rambut dia tak mahu.... pegang pensil lagi lah sentuh pun tak nak......

Suatu ketika tiba-tiba Udin nak potong rambut, dengan syarat nenek yang potongkan dan tak pakai mesin potong rambut tu, Udin nak pakai gunting je! oklah tak apa asalkan Udin nak pun dah syukur Alhamdulillah. Haaaa..... ni masa Udin nak potong rambut :


Ini bila nenek dah potong. Tercengang-cengang Udin depan cermin tengok muka sendiri.....


Lepas tu, Udin nak pergi sekolah..... waahhhhhh baguslah Udin tiba-tiba pulak nak pergi sekolah. Masa pergi register tu, Udin asyik pandang je wajah Teacher Linda. Agaknya bila teacher layan baik-baik tu, Udin semakin bersemangat. Sehari sebelum ke sekolah, asyik pesan kat ibu dia, "ibu jangan temankan Udin kat sekolah tau ibu ...." Sambil seronok menulis dan melukis..... yeayyyyy..... Udin dah nak pegang pensil. 


Masa on the way pergi sekolah, lain pulak bunyinya, "ibu jangan balik tau...." Masa dah sampai pintu sekolah, ibubapa tak boleh ikut sekali. Jadi, Udin tinggallah di sekolah, ibu dan abahnya pun balik. Waktu ambil Udin balik tu hati berdebar-debar menangis ke budak ni.... mengamuk ke dia..... rupa-rupanya, ok lah tak menangis pun..... Alhamdulillah.


Harap-harap, Udin suka ke sekolah. Maklumlah, sebelum ni tak mahu langsung sebut perkataan "sekolah". Udin belajar rajin-rajin ye...... jadi anak yang baik. Saya katakan pada Udin, "Udin belajar rajin-rajin, mengaji pandai-pandai.... nanti Udin baca Al-Quran untuk atuk engan nenek, atuk dengan nenek pun dapat pahala tau"

Wednesday, November 14, 2012

Tiada lagi Ibu mertua.....

Lama saya tidak ke sini..... terlalu banyak perkara yang berlaku , ujian datang silih berganti. Setelah abah pergi meninggalkan kami adik beradik, kehidupan kami bertukar 180 darjah. Kesedihan bukan semakin hilang, sebagaimana yang kami harapkan. Malah semakin lama abah pergi, kerinduan kami semakin kuat dan rasanya seakan tidak tertanggung. Al Fatihah untuk abah.....

Saya redha dengan setiap ujian yang Allah SWT berikan. Belum sempat kering airmata kehilangan abah, emak mertua saya pula menyusuli pemergian abah...... empat hari sebelum hari raya aidilfitri. Al Fatihah untuk emak mertua tersayang.

Keadaan emak memang agak teruk sebelum kami menghantar emak pulang ke kampung. Puas kami anak-anak memujuk, emak tetap mahu pulang. Bimbang emak berasa hati, kami dengan rasa bersalah menghantar emak pulang ke Segamat pada hari Jumaat. Takdir Illahi, emak kembali kepangkuanNya pada jam 3.00 pagi hari Rabu, 15hb Julai 2012. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan hambaNya yang beriman dan beramal solleh, mendapat keberkatan dan perlindungan dari yang maha Esa, amin.

Kini saya hanya puya seorang ibu dan seorang bapa mertua..... semoga peluang yang Allah berikan ini tidak saya sia-siakan.....

Monday, July 30, 2012

Setelah abah tiada

Al Fatihah

Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, ku mohon Kau ampuni segala dosa abah, ku mohon Kau terimalah segala amal ibadah dan segala amalan kebaikan yang telah abah lakukan semasa hayatnya. Terangilah dan lapangilah abah di sana. jauhilah abah dari siksaan kubur dan siksaan api neraka.Tempatkanlah abah dikalangan hambamu yang beramal solleh. Tempatkanlah abah ke dalam syurgaMu ya Allah..... Ameen

Semuanya berlaku dengan sekelip mata. 30 Jun 2012, jam 10pagi, K cha menelefon saya "mak telefon, mak menangis abah pengsan kat laman". Pantas saya menemui suami yang sedang tergesa-gesa untuk ke pejabat. Kami ambil keputusan untuk pulang ke kampung ketika itu juga. Belum sempat mengambil walau sehelai baju pun, telefon berdering lagi, kali ni Zaki di talian, "kak na, abah dah tak ada...."

.........dan sejak dari hari itu, kami tidak lagi punya abah untuk  bermanja, untuk  berkongsi cerita. Kasih sayang kami anak-anak terhadap abah sangat tebal. Kami tahu, abah tahu kami semua sangat sayangkan abah. Kami melayani abah seperti menatang minyak yang penuh. Kasih sayang abah terhadap kami tetap kami rasai sehingga kini biarpun abah telah tiada.

Terima kasih abah atas segala segala pengorbanan terhadap kami, terima kasih juga abah atas limpahan kasih sayang abah yang tiada batasan untuk kami semua. Kami tetap menyayangi abah walaupun abah telah tiada. Tidak pernah walau sesaat kami melupakan abah. Walaupun kenyataan ini terlalu pahit untuk kami terima, kami tetap redha atas pemergian abah.

Segala kenangan bersama abah kami simpan rapi dalam ingatan kami. Hanya gambar abah yang kami tatap setiap hari untuk mengubat rindu. Kami merindui abah sangat-sangat........ sehingga ke hari ini air mata menjadi teman setia kami. Abah selalu mengajar kami menjadi insan yang kuat semangatnya, ya kami semua punya semangat yang sangat kuat, tetapi bukan untuk kali ini......

Abah, kami sayangkan abah, kami rindukan abah......

Monday, March 12, 2012

tentang emak......

Lama saya tidak menjengah ke sini.......Ini cerita tentang emak mertua saya yang sangat saya kasihi. Selepas berjaya menjalani pembedahan kanser payudara, emak kelihatannya bertambah sihat. Alhamdulillah. Mengikut jadual yang telah diatur oleh doktor, emak perlu menjalani rawatan susulan di National Cancer Institute, Nilai. Insyaallah rawatan radiotherapy emak akan ditentukan oleh doktor waktunya selepas temujanji pada 20hb March ini.
Saya akur pada ketentuan Illahi. Temujanji yang lalu, doktor mengesahkan kanser emak mertua saya telah kembali. Kali ini sel-sel kanser tersebut telah menyerang bahagian kulit dibawah pangkal lengan dan lebih menyedihkan menurut doktor, ia telah merebak ke paru-paru.
Semoga kesihatan emak bertambah baik. Semoga emak kuat melawan penyakit emak. Semoga emak sentiasa tabah...... kami mendoakan emak siang dan malam. Sayang emak!

Saturday, December 31, 2011

Selamat datang 2012

Esok, 1 Januari 2012. Meninggalkan 2011 dengan doa dan harapan untuk menjadi lebih matang dan paling penting menjadi insan yang lebih bertanggungjawab terhadap Yang Esa, suami, anak-anak, ibubapa, abang-abang, kakak-kakak, adik-adik dan seluruh keluarga saya. Lebih menghargai setiap insan yang sentiasa berada di sisi saya..... yang selama ini sangat menyayangi saya seadanya saya. Buat keluarga dan teman-teman yang sangat memahami dan mengambil berat, tiada yang lebih bermakna dari ucapan segunung terima kasih. Semoga Allah swt memberkati hidup kita semua dengan keredhaanNya, amin.

Friday, December 30, 2011

Alhamdulillah, ibu mertua saya selamat menjalani pembedahan semalam. Dengan faktor usia dan beberapa perkara lain sebagaimana yang dijelaskan oleh doktor sebelum ini, bohong kalau saya katakan kami sekeluarga tidak merasa bimbang dan gusar. Selain doa, hanya sokongan moral yang dapat kami berikan kepada emak. Pembedahan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah, dan sepanjang tempoh itu kami tidak senang duduk. Sekejap duduk, sekejap berdiri, sekejap lagi berjalan tetapi kaki tak tahu hendak kemana..... Syukur, prosedur pembedahan berjalan lancar. Emak dibenarkan pulang ke wad, dengan dua tiub disalurkan dari tempat pembedahan kepada dua beg plastik yang digantungkan di sisi katil. Menurut doktor, ianya untuk memgalirkan darah agar tidak menjadi beku di situ. Apabila darah yang mengalir itu bertukar kepada warna putih jernih, biasanya dalam tempoh empat hingga lima hari, tiub itu boleh ditanggalkan. Buat masa ini emak masih dibawah pengawasan doktor. Selepas ini emak perlu menjalani sessi fisioterapi sebelum dibenarkan pulang agar tangan kiri emak dapat berfungsi dengan baik. Kemudian dari itu, emak akan menjalani rawatan radioterapi pula..... semoga emak cepat sembuh, amin.

Thursday, December 22, 2011

Majlis Pertunangan Kak Long

Jadi tunangan orang sudah anak dara comel ni..... tahniah Kak Long. Sekarang ni berdebar-debar menunggu hari bersejarah pula, Insyaallah. Semoga segala impian menjadi kenyataan. Macam biasa, saya diamanahkan untuk membuat hantaran. 


 Kak Long aka Lily. Pertama kali saya lihat Kak Long berlipstick. Ngeeee... cantik anak sedara saya ni. Tahniah Kak Long. Muahhhhhh......


Hantaran dan iringan untuk pihak lelaki. Tujuh dulang berbalas sembilan dulang dari pihak kami. Selebihnya iringan untuk dijadikan buah tangan sepulangan dari Terengganu setelah berjalan jauh nun dari utara tanahair,  tanah kelahiran Raja Nazrin. 




Saya masih ingat lagi, masa tu anak saudara saya ni masih di kolej matrikulasi. Dengan gatalnya dia bagitahu saya "Acik, kak Long kawin nanti Acik buat hantaran Kak Long ye...." wahhhh tak padan baru 18 tahun dah very the verangan...... Dan bila nak bertunang tempohari, mek comel ni minta saya buatkan tema ala-ala lovely lace. Ok.... saya pun buatlah sikit-sikit sama, nanti kalau sebijik serupa kena saman pulak kan! Siapa nak menjawab?





Serba sedikit gambar hantaran yang saya buat. Nanti saya akan upload di blog Armalia gambar-gambar yang lebih jelas. Agak sibuk, tak sempat-sempat lagi untuk upload gambar-gambar yang lain (sebenarnya encik suami tak copykan lagi gambar-gambar tu...) 

Sekarang ni pula saya sedang sibuk menggentel bunga telur untuk majlis perkahwinan yang dijadualkan akan berlangsung pada awal February nanti. Konon-konon nak buat bunga dip. Tapi macam biasalah, kalau kerjatangan saya ni, macamnya tak menjadi aja.......  Kita tunggu nanti hasilnya.

Friday, November 18, 2011

Hanya doa

Awal disember, kemoterapi terakhir ibu mertua saya. Insyaallah, pembedahan akan dilakukan selepas itu. Bila waktunya masih bergantung kepada keadaan kesihatan ibu mertua saya. Semoga semuanya berjalan sepertimana yang dirancang. Kami hanya mampu berusaha dan berdoa, selebihnya kami serahkan kepada Allah SWT.
Terima kasih kepada insan-insan disekeliling saya yang sangat-sangat memahami dan banyak memberikan sokongan serta dorongan. Paling penting, terima kasih yang tidak terhingga atas doa yang dititipkan.....

Wednesday, November 9, 2011

Kitar semula



Baru saya terdetik dalam hati "jug air ni tahan betullah, dah dekat 10 tahun pakai tapi tak pecah-pecah pun....". Selang dua-tiga hari kemudian tangkai jug ni pun patah. Hmmmmm.... tu lah orang tua-tua ada kata "jahat jangan dimintak". Tapi sebenarnya jug ni memang dah lama sangat pun. Hari-hari pakai. Memang patutlah dia pecah. Sekurang-kurangnya dapatlah dia berehat!

Nak dibuang tak sampai hati, sebab tangkai plastiknya saja yang patah, kacanya elok lagi. Kebetulan adalah bunga yang tak berumah, apa lagi saya pun tonyeh je bunga tu dalam "pasu kitar semula" tu. Kalau tengok betul-betul dalam gambar, akan nampak mulut jug tu terjuihhhhhh...... :))) Sekarang ni saya tengah tunggu bila pulak alu lesung batu saya nak patah! 




Thursday, November 3, 2011

Persiapan...


Putih...pink...


untuk dibawa nun jauh ke terengganu..... 






sempena majlis pertunangan anak saudara, lily.

Monday, October 24, 2011

Awak tak makan tempe?????


Rugi.... rugi besar..... :))) 


Sebab tempe tu sebenarnya sedap. Sesiapa yang tak makan tempe tu eloklah mencuba. Ini tempe goreng resepi Bibik Puji. Memang sedap bibik goreng tempe. Setiap tetamu yang datang kerumah, kalau merasa tempe ni memang sah balik mintak resepi.... 


Tapi, saya yang serumah pun sampai la ni tak menurun lagi resepi istimewa ni.... makan cicah dengan sambal kicap.... phewwww

Tuesday, October 18, 2011

Balada Petani Tua


Balada Petani Tua
karya S Panit

Barjo tubuh sederhana
Mata bulat kepala berkulat
Kulit kematu –
Di bawah mentari bulan satu
suatu harapan bumi tiada retak

Markonah isteri setia
Mata cengkung tiga belas anak mengepung
Berlindung di bawah kepak petani
Tanah sekepal rumah sebuah pusaka mati

Justeru Tumin putera tua
Sisa pertarungan manusia
Menegakkan pepanji bangsa
Telah cedera kaki tiada ertinya

Sedang Tuban putera kedua
Gonjol – gilakan janda kaya
Sehari kerja sehari melawa
Usia kian memanjat senja
Dunia tanpa difikir diri berkecamuk jua

Dan Gareng anak ketiga
Tiga kali kahwin bercerai jua
Betapa harta tiada berbudi sementara
Ditambah bini-bini yang culas, curang dan meradang
Tidak mengenal batas bertandang dan kecundang

Si Gawok puteri keempat
Kematian suami anak empat
Tutup lubang gali lubang
Penebus kehidupan segala termengkelan

Sentot belia nganggur
Putera kelima tamat sekolah atap
Sijil berlipat menyogok harap
Tukang sapu tukang angkat

Saring ada SRP pangkat C
Putera keenam paling tabah
Tiada pernah meminta-minta
Surau dan gubuk istana perlindungan
Hasrat ingin merakam segala kehidupan:
(keluarga kami petani tradisi
Mahu mendaki ingin menguji
Bangsa manusia tiada serupa)

Jemblong putera ketujuh paling gelojoh
Ringan tulang kenyang berdagang
Pengasih dan penyayang
Ya, kesayangan ayah bonda sekeluarga
Malang bersekolah tiada

Gambreng dan Mumberuh kembar kemerdekaan
Sekolahnya sekerat jalan –
Dangkal dan tawakal
Mewarisi dan kekal

Seriwut putera paling pintar
Sabar dan berlapar
Ayah dan bonda berkerat berkelar
Cita-cita dan debar
Anakku ; Pemimpin besar

Bolot putera bungkus
Satu kepercayaan amat kudus
Berani, kebal macam Mat Kilau
Pada dengan kalimah lebai bagai rasul
Jauh dari fatwa yang unggul
Dan lari dari pedih perit
Bulan dan mentari sakit
Kesal dan menyesal menggigit

Tomblok puteri ayu
Timangan ibu segera bermenantu
Pemuda kaya paling tidak tukang kayu
Sedang tubuh berkudis buta
Sekolah darjah dua
Betapa saudara kandung hidup derita

Dan Jombot puteri bongsu
- tiga belas hatinya kelabu
tanpa pesta dunia maju
segala layu dan kaku

Sepasang petani tua
- bumi dan manusia
bersyukur atas segala pemberian
bertawakal dalam perjuangan
rezeki secupak bukan segantang jadinya

Dan hiduplah petani perjuangan
Tidak mengukur baju di badan orang
Tetapi memacu tiga belas jiwa
Bagai buldoza raksasa
Sekali-sekala lumpuh kemahuannya


Dulu kami adk beradik suka betul dengan puisi ni.... mungkin kerana keluarga kami ramai, sebelas orang. Seronok kami menukar karakter dalam puisi ni dengan setiap seorang ahli keluarga kami...... Seingat saya waktu itu saya di zaman sekolah rendah lagi.  Yang best tu bila dah tua-tua begini baru perasan, ada juga yang betulnya.  kenangan mengusik jiwa :))



Monday, September 26, 2011

Bekas cupcake


Murah dan mudah..... tapi masih cantik (iye ke cantikkkkk....)  Kalau-kalau ada terlebih doily paper yang bulat tu, bolehlah cuba-cuba. Template untuk paper cup ni saya dapat atas pertolongan pakcik google. Print, potong lepas tu tekap sajalah atas doily paper tu, potong kemudian lekatkan. Jadilah  rupa ini.... Nanti kalau ada cupcake untuk hantaran, kita sarungkan aje paper cup ni. Kalau nak lagi cantik, pakai doily yang warna warni tu tentu comel kan...... boleh ikut tema hantaran!