Saturday, May 30, 2009

Sajak Melayu - Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka



Friday, May 29, 2009

hai makanlah lagi.......

Akhirnya dapat makan chilli crab sedap. Jangan mare..... cubalah restoran d'Qaseh di seksyen 13 belakang Tesco extra. 

Haaa... kaki ketam ni untuk ayun ye.... 

Tesco oh Tesco

Semalam saya ke Tesco. Lepas bayar tergerak hati nak check resit. Harga mainan Udin rm23 tapi dekat resit rm32. Saya pergi ke customer service, bagitahu ada kesilapan dan dapatlah balik duit rm10. Petang saya ke Tesco lagi sekali sebab Luqman nak mainan sama macam Udin. Lepas bayar, check balik resit. Masalah yang sama. Harga mainan rm44.03 tapi saya dah bayar rm62.10 untuk mainan Luqman. Sekali lagi saya ke kaunter. Staff pagi tadi masih bertugas. Saya bagitahu pada supervisor yang ada kat kaunter. Seorang perempuan  melayu. Tapi saya tak tahu dia faham atau tidak apa yang saya cakap. Dulu pun pernah sekali perkara begini berlaku ketika berbelanja di tesco. Permainan Luqman harga rm20+, tapi bila bayar jadi rm40+ pulak. Hati-hatilah bila berbelanja. Tak kiralah berbelanja di manapun. Pastikan Check resit sebelum balik. Sepuluh dua puluh ringgit bagi free kat Tesco tak ada faedahnya... tapi duit tu kalau kita sedekahkan kat orang susah, besar maknanya......

Restoran Mukmin

Minggu lepas makan kat Restoran Mukmin di Seksyen 19 Shah Alam. Sedap. Masakan Cina asli. Menunya banyak betul. Istilahnya pun semua bunyi-bunyi bahasa Cina. Akhirnya Kak Shima order mana yang waitress tu kata sedap. Nama menu tak tahu.... tapi memang sedap...





Ni tolong promosi Restoran Mukmin sikit lah
Nombor telefon : 0355492820
Add : No. 20, Jalan Nelayan B
19/B Seksyen 19, Shah Alam
Selangor Darul Ehsan

Dibuka dari jam 9.00am - 11.00pm

Halal

Tuesday, May 26, 2009

cerita tentang lupa

Saya memang pelupa. Masa darjah satu, pernah satu hari tu pergi sekolah saya terlupa bawa beg. Kak Shima lintang pukang balik ke rumah untuk ambil beg saya. Kesian kak Shima. Sampaikan dah masuk U pun tabiat pelupa saya masih tak hilang. Saya kena bentangkan assignment masa kelas tutorial. Pakailah baju comel-comel sikit, gincu sikit. Ewah... padahal bukan boleh nak goda lecturer pun, dah lecturer tu perempuan. Bila sampai bilik tutorial baru perasan semua benda alah yang nak digunakan dah tertinggal kat dalam bilik. Nasib baik member ada kereta. Haru biru dibuatnya.
Bila dah kawen, saya masih terbawa-bawa dengan tabiat pelupa. Masa tu bulan puasa. Nak buat rojak untuk berbuka. Sambil menggoreng tauhu saya baca majalah. Tak sedar kat dapur api dah marak bakar dinding dan bumbung rumah. Dah la tinggal di apartment. Nasib baik tak terbakar rumah orang atas. Masa nak pindah, tak pasal-pasal duit deposit burn sekali.
Masa duduk Kantan Permai, saya ada jiran yang pelupa kategori sama macam saya. Satu hari dia lupa bawak kunci rumah. Terkunci dari luar. Nak masuk ikut pintu belakang kena panjat pagar, dia terpanjat pagar rumah saya. Jiran saya ni pun ceritalah, pernah sekali dia pergi ke rumah kakaknya yang tinggal di apartment. Setelah sampai, oleh kerana dah tak tahan nak buang air kecil dia terus meluru ke bilik air. Bila semuanya selesai, jiran saya ni pun pergilah ke ruang tamu untuk bersalaman. Masa itulah baru dia sedar yang dia sebenarnya tersalah masuk rumah orang lain. Lupa nak tengok nombor rumah.
Terlupa bukan sengaja. Tetapi selalunya terlupa juga boleh menyebabkan bahaya pada diri kita dan orang lain juga. Dan boleh menyusahkan orang lain juga.....



Sunday, May 24, 2009

Hijrah Kak Cha

Kak Cha nak pindah. Nun ke seberang Tambak Johor. Kalau jadi kak Cha pindah, tinggallah saya di sini.... Emmm. Tak apalah.
Banyak perkara yang saya kongsi dengan kak Cha. Kisah suka. Kisah duka. Dari saya kecil sampai sekarang kami tak pernah berenggang. Bila kak Cha dah pindah nanti, akan berjauhanlah saya dengan satu-satunya adik perempuan yang saya ada. 
Dengan kak Cha, saya tak pandai berahsia. Bila ada masalah, kecil atau besar, saya cari kak Cha. Beli baju pun nak cerita. Beli garam pun nak cerita. Kalau boleh terpijak semut pun nak cerita. Kami memang rapat. Mungkin juga kerana kami mempunyai karier yang sama. Kadang-kadang bila hati gundah gulana, saya telefon kak Cha. Tak payah cerita kisah duka lara, dengar dia celoteh aje pun tak apa. 
Nanti kalau dah duk Singapura janganlah kak Cha lupa orang kat Shah Alam ni.... tak bolehlah nak lepak-lepak kat sini macam selalu. Nanti kalau datang Shah Alam nak kena bentangkan karpet merah lah ye. 
Nasib baik adik beradik saya ramai. Yang sentiasa ada di sisi saya sewaktu senang dan susah. Yang semuanya sayangkan saya. Sentiasa ambil berat tentang saya sewaktu sihat saya, sewaktu sakit saya. Terima kasih semua.....

Saturday, May 23, 2009

Arwah embah wedok

Sejak saya mimpi jumpa arwah embah wedok tempohari, rasa rindulah pulak saya pada arwah. Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah semoga sentiasa berada di bawah lindunganNya. Semoga segala amalan dan jariah semasa hayatnya menjadi teman arwah sana. Semoga Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa arwah semasa hayatnya. Amin. Al-Fatihah.

Friday, May 22, 2009

Ikan bakar yang sedap sangat


Inilah ikan bakar paling terangkat di alam maya ini. Setiap kali balik kampung mesti pekena sotong bakar... kerang bakar... dan katanya puyuh gorengnya pun terangkat juga..... Apa nama kedai makan ni pun tak tahulah saya. Yang saya tahu, tokey kedai ni namanya Tumiran. Kedai makan ni terletak di Kampung Sekolah. Dekat dengan Sekolah Kebangsaan Paya Redan. Mee hoon sup dia pun sedappppp. Luqman suka sangat. Kami sekeluarga kalau beli tak pernah sikit. Tengoklah saiz perut pun. Emmm... lapor le pulak

Sedikit tentang kesihatan - buah pinggang

Simptom
-Sering berasa lemah badan ataupun demam
-Kerap membuang air terutamanya pada waktu malam dan kencing yang terlalu banyak atau terlalu sedikit
-Warna kulit menjadi kekuningan
-Mengalami kesulitan untuk membuang air kecil
-Darah keluar bersama-sama air kencing
-Bengkak dikawasan sekeliling mata sewaktu bangun dari tidur pada sebelah pagi dan kembali normal pada waktu prtang. Jika pesakit berada dalam keadaan kepenatan, bengkak ini akan menjadi lebih teruk
-Seringkali menghadapi masalah kesakitan di bahagian pinggang secara berkala ataupun berterusan
-Tekanan darah tinggi

Berhati-hatilah. Sentiasa prihatin pada perubahan diri kita. Sakit kan tak mengenal usia....

Monday, May 18, 2009

tentang sekolah tadika.....


Saya tak pernah ke  sekolah tadika. Masa zaman saya, sekolah tadika hanya belajar abc dan menyanyi dan menari. Milah, Ati dan Ita selalu ejek-ejek saya. "Mak kita kata kalau tak sekolah tadika nanti jadi bodoh". Entah kenapa saya boleh buat tak faham aje.... dah memang dasar pemalas pergi sekolah. 
Emaklah guru pertama saya. Sambil buat kerja rumah, mak nyanyikan lagu abc ulang-ulang kali. Saya melangkahkan kaki ke dalam darjah satu hanya dengan pengetahuan abc yang dihafal. Saya tak kenal pun mana satu a dan yang mana satu b. Tapi tak apa. Waktu tu semua pun tak pandai. Semua pun cuma tahu abc sahaja. Lagi-lagi saya yang tinggal di kampung. Apa sangatlah kemudahan lain yang ada selain bermain pondok-pondok dan main kawen-kawen....
Zaman terus berubah. Siapa yang lambat dia akan ketinggalan. Di luar sana ramai yang pandai. Sebab itulah mendidik anak kena bermula dari dalam kandungan kan..... Lagi awal kita didik, lagi banyak ilmu yang anak kita dapat. 
Pernah saya berasa sangat ngeri melihatkan anak-anak yang baru berusia empat lima tahun terpaksa belajar itu dan ini supaya cepat pandai. Sehinggakan kadangkala kepandaian itu adalah sebagai kebanggaan ibu bapa pula. Tetapi apabila mengenangkan bahawa usia empat lima tahun itulah usia emas bagi anak-anak, saya akur. Pendidikan itu bermula bukan apabila rebung telah menjadi buluh......
Kak Cha kata pelajar yang masuk ke dalam darjah satu, kepandaian membaca, mengarang, mengira, melukis, mewarna, dan segala kepandaian mestilah tersusun rapi di dalam poket. Ngeri jugalah mendengarkanya. Maklumlah, tak berapa lama lagi Luqman nak masuk darjah satu. Nak melepaskan Luqman yang manja tu ke darjah satu saya rasa macam nak melepaskan anak pergi belajar ke oversea je. 
Lepas tu si Udin le pulak........
 

Sunday, May 17, 2009

Terima kasih cikgu.....

Selamat hari guru saya ucapkan buat guru-guru saya sejak mula saya bersekolah rendah hinggalah saya menamatkan pengajian saya. Bermuala dari Sekolah Kebangsaan Paya Redan, Kemudian Sekolah Menengah Sultan Alauddin dan akhir sekali Sekolah Menengah Tun Perak.
Doa saya semoga semua guru-guru saya dirahmati Allah swt. Terima kasih yang tidak terhingga atas segala ilmu yang dicurahkan kepada saya. Buat teman-teman yang bergelar guru....Mar, Ena, Ma, Wati, Zura... Selamat hari guru.

Thursday, May 14, 2009

Sambal Totok

Sambal totok simple dan sedap. Makan dengan nasi panas-panas, sayur bening bayam, ikan goreng tak pun dengan ikan masin. Mesti berpeluh.

Bahan-bahannya mudah dan murah. Ikan bilis, bawang putih, bawang merah dan cili api. Cili api biasa mak pakai cili yang warna hijau tapi oleh kerana kehabisan stok, cili merah pun sodap.... pernah cuba campur hijau dan merah. lagi sedap. Nak letak banyak mana tu agak-agaklah citarasa sendiri. Kalau tengah hot kat cik abang tu nak letak cili sekilo pun boleh.

Goreng sampailah masak. Kalau suka sambal tu nanti jadinya kering maka gorenglah sampai garing. Saya suka kalau tak garing sangat. Lagi sedap. Dulu abah suka kalau dikukus masa tanak nasi. Letak bahan-bahan dalam mangkuk, agak-agak air nasi dah kering, letak mangkuk atas nasi. Tutup periuk. Nasi masak, angkat mangkuk dan sejukkan. Lepas tu tumbuk. Baik untuk kesihatan. Tak berminyak.

Lepas sejukkan, tumbuk. Tak payah lumat sangat. Tak best. Tumbuk ala-ala je... Kalau malas sangat nak tumbuk letak je kicap sikit. Crot..crot.. kalau letak kicap makan dengan nasi sejuk sedap.....

Dah siap. Apa lagi. Jom lah kita menjamu selera ala kampung. Hai gambar ni tak nak selari le plak ngan kawan-kawan dia kat atas tu.....

Tuesday, May 12, 2009

Nyam...nyam....

Kacang tanah ni memang sedap betul.... ada lada kering, bawang putih, daun kari, ikan bilis. Perasa dia tu yang tak tau apa bendanya. Kalaulah dapat buat........sedapnya


Buttered soft shell crab


Garupa with sweet and sour sauce


Bersempena dengan hari ibu kelmarin, kami makan di Restoran Tasik Indah. Yummy..... sedap..... Nanang jangan jeles eh...

Debar menanti.....

Ramai yang berdebar menanti apakah agaknya kesudahan PPSMI yang isunya belum lagi selesai sejak perlaksanaan penuh PPSMI pada tahun 2007 bagi sekolah menengah dan 2008 untuk sekolah rendah. Bagi yang kurang maklum, dan sekadar berkongsi informasi, perlaksanaan PPSMI adalah bertujuan untuk memastikan penguasaan yang lebih baik para pelajar kita dalam bidang sains dan matematik. Mengapa pula penguasaan para pelajar akan jadi lebih baik dengan PPSMI?Jawapan yang diberikan adalah kerana sebahagian besar daripada sumber-sumber ilmu ini adalah di dalam bahasa Inggeris. PPSMI ini jugalah yang kemudian harinya nanti dikatakan akan dapat melahirkan generasi yang cemerlang Bahasa Inggerisnya.
Janji yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menilai semula perlaksanaan PPSMI ini diharapkan dapat memberikan satu keputusan yang adil untuk letak duduk darjat Bahasa Melayu itu sendiri. Usah digusarkan akan sumber-sumbernya yang di dalam bahasa inggeris itu kerana rasa-rasanya tidak terbilang dek jari barisan cendikiawan kita yang mampu menterjemah sumber-sumber yang di dalam bahasa Inggeris itu.
Tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris, hanya sayangkan bahasa Melayu.......

Sunday, May 10, 2009

dari luqman untuk ibu....

Kad dari Luqman untuk ibu sempena mothers day.... thank you Luqman.......


Saturday, May 9, 2009

Kasihnya ibu




Kasihnya ibu membawa ke syurga
kasihnya saudara masa berada

Berkorban jiwa rela binasa
Berkorban nyawa tanda kasihnya

Berkorban jiwa rela binasa
Berkorban nyawa tanda kasihnya

Kasihnya ayah sanggup kau berpisah
Dan kasih anaknya berkorban ...
(Biarpun) jiwa kan tersiksa

Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan membesarkan
Tiada bahagia bila tiada doa puja restu
Syurga itu ditelapak kaki ibu

---

Selamat hari ibu


Thursday, May 7, 2009

Hari ini dalam sejarah

Masjid Lama Olak Sepam



Mungkin tidak ramai yang menyedari banyak tempat bersejarah kat sekitar kita. Ye la, kisah sejarah ni tak ramai yang berapa nak minat. Masjid ni besar juga lah.... nampak ada sejadah yang dibentang. Rasanya ada juga orang yang singgah sembahyang kat sini sebab depan masjid ni pun tempat kaki pancing turun dan naik dari sungai.