Tuesday, June 16, 2009

Perihal membaca

Dari kecil lagi kami adik beradik sudah terdidik dengan minat suka membaca. Masa saya sekolah rendah dulu, abah baca suratkhabar Utusan Melayu. Suratkhabar jawi. Nak tak nak kami pun bacalah suratkhabar jawi. Abah pun suka baca kitab. Kalau abah dah duduk baca kita, dah tak pandang kiri kanan dah.
Masa tu kami adik beradik suka membaca tapi tak ada duit nak beli bahan bacaan. Kak Noor bila balik kampung selalu bawakan kami macam-macam buku. Biasanya satu buku tu kami akan baca berulang-ulang kali sebab dah tak ada apa nak baca. Saya ingat lagi novel Liku-Liku ke Puncak karya Othman Puteh. Saya selalu baca ulang-ulang kali. Bila belajar kat UKM, saya ambil paper Dr Othman Puteh. Beliau memang best.
Lagi ada buku Gullivers Travel. Buku Aku budak Kampung karya Datuk Lat. Dan macam-macam lagilah..... itulah zaman sekolah rendah. Duduk kat kampung. Apa sangatlah yang ada masa tu. Membacalah aktiviti paling best sekali.
Bila dah pandai beli buku sendiri, abah kawal apa yang kami baca. Abah tak izinkan kami beli majalah hiburan. Zaman tu URTV meletup-letup. Pandang ajelah! Kawan-kawan semua beli. Masa tu saya minat kumpulan Headwind sebab penyanyinya tu cute betul. Hampir semua lagu Headwind saya hafal. Jiwang kan.... Beli bahan bacaan mesti yang bermanfaat. Sampai sekarang dah tua-tua ni pun kami pegang pesan abah yang satu ni.
Ada satu perangai kami yang tak berapa nak wangi adalah suka membaca masa dalam tandas. Sebelum masuk tandas tangan mesti nak mencapai apa yang sempat. Majalah tahun lepas ke, suratkhabar minggu lepas ke, semua ok je. Kalau dah tak sempat sangat nak mencapai, botol syampu dan botol sabun dalam bilik air pun boleh kami baca....
Sampai sekarang pun, tabiat itu tetap ada. Dalam bilik air di rumah saya ni saya siapkan majalah untuk dibaca. Kalau balik kampung, dalam bilik air rumah mak mesti ada buku ke, suratkhabar ke, atau majalah. Biasanya terselit-selit kat celah lubang dinding. Itu kerja Ayun la....



Monday, June 15, 2009

Ceritera Yang Kedua - Muhammad Haji Salleh


"Maka pada malam itu dipandang oleh Wan Empuk dan Wan Malini dari rumahnya,
di atas Bukit Siguntang itu bernyala-nyala seperti api"




i

Malam mulai pasang
dua orang gadis bersandar di depan senja
menunggu padi menyusu.
Penantian melonglaikan gerak waktu.
Di waktu antara siang dan malam
halaman serasa luas hujungnya,
alun langit di atasnya sesayu arus
ada bulan muda di pucuk Siguntang samar,
menyalutkan cahaya tipis pada pucuk padi,
daun-daun tertinggi jelutung dan kapur hutan,
sepi meresap ke akar tumbuhan,
melayang ke telinga mergastua,
tiada bunyi burung
tiada riang-riang yang menjeritkan gelap malam.
Mereka pun tiada berkata, tiada kata yang datang,
seperti ada pembersih yang takut mencacatkan
kebeningan lereng dan lembah.

ii

Dari puncak Bukit Siguntang
terkelip kuning lembut putik cahaya,
terketar di udara, berdaun halus apinya,
sejenak memancar seperti bintang timur,
Empuk memegang tangan Malini,
kehairanan dialir takut.

Mereka himpunkan pandangan
di pusar putik cahaya
seperti memeliharanya dengan kehendak,
untuk dikekalkan indahnya di gunung sungainya.

Sungai sempurna
ditakung oleh batu gunung
diberhentikan oleh sungai.

Daun api melenggok turun
mengajak mata mencari bersamanya,
zatnya menyerap ke buah padi kuning berhijau.
Dari pondok Empuk dan Malini
tampak cahaya cakerawala mulai merah jauh
mengerdip perlahan dengan alir,
sungai bergerak menjadi kuning matang.

Seperti air di awal tengkujuh
warna itu bergulung membalut akar, melonjak di batang
terus tersedut urat daun lebar pohon-pohon.

Emas buahnya
dan daunnya perak
di atas langit cerahnya
di bawah emas dan perak membiak.
Terketar batang padi sebukit
seperti digoncang sepadang tikus,
umbinya pecah dari kepal tanah
dialiri tembaga-suasa
perak mengilau di tiap rumpun
di ladang di lereng Siguntang,
meriah, dilihat oleh hutan dan bukit-bukit.

Hampir subuh usia malam,
di kala bintang mulai pudar
dan langit pucat seperti pipi gadis,
bayu pun berhembus
dari puncak yang menurunkan api
sesenja tadi,
menyapu lembut di celah pohon-pohon hutan,
perlahan, dengan perlahan rentak alam,
cahaya itu berpindah
dari tangkai ke tangkai
memanjat lorong ke bukit
menaiki tiap rumpun,
air emas menjalar
seperti api jeram,
tetapi lebih perlahan,
lebih lembut,
di dalam lindungan bukit dan sunyi.
Padi cahaya berkerlipan,
yang nyata jadi mimpi.

Selesailah sawah diemaskan buahnya
bekulah bendang di ruyung malam
hanya kuning pinang saja memercik lunak
seperti bunga jambu dari pucuknya.

Maka sejurus itu sempadan bawah pun
dicurah fajar
yang segera memberat logam, jelmaan perak,
zat cairnya berlari
ke urat dan ke lebar daun.

Apabila lidah bayu menyentuh buah padi
gemerincinglah tanaman
bunyinya tersirap dari sebendang tangkai
berdengung, didengungkan oleh batu-batu bukit.

Berkeleneng daun-daun perak,
bunyinya halus, nipis di dalam udara manis
lembut seperti loceng angin
oleh pandai perak,
sayu dan sedih,
batang suasa berdenting di lereng dan di tanah
dipukul oleh angin pemain irama
meletak rentak pada buah dan daun.

Tiapkali bayu berubah arah
iramanya bertukar,
lagu alam dimainkan gamelan alam.


Sunday, June 14, 2009

Kenangan masa sekolah...

Masa balik kampung haritu, balik dari pasar Pagoh sempat lagi jenguk sekolah lama saya. Sekolah Sultan Alauddin. Lama... dah 17 tahun saya tinggalkan sekolah ni. Tapi kenangan tetap kenangan. Setiap kenangan di sini, samada pahit ataupun manis, semua saya sayang. Ya lah... zaman anak dara sunti katakan.
Tapi sekarang semua dah berubah. Padang sekolah tempat saya selalu masuk lumba lari tapi tak pernah menang tu dah tak ada. Didirikan dewan Sri Mentulang dan quarters guru. Kebun getah tempat saya lalu hari-hari untuk pergi dan balik sekolah juga sudah tiada. Pokok getah semua dah ditebang. Nampak macam ada padang dan sebuah bangunan. Kurang pasti saya bangunan apa. Bangunan Seni Perusahaan juga dah diruntuhkan dan didirikan bangunan baru 3 tingkat. Nampak macam ala-ala asrama aje. Masih belum siap. Tangga 'Batu Caves' masih ada lagi... Sekarang di sekolah ni dah ada form 6. Saya pun baru je tahu.
Masa sekolah kat Pagoh, saya kawan baik dengan Fatimah dan Faizah. Tapi masa form 4 kami tak sekelas. Saya dapat kawan baru. Chik, Along dan Pid. Kami 4 orang memang geng. Saya selalu makan tengahari di rumah Chik kat Pekan Pagoh. Sekarang Chik dah jadi Ustazah. Alhamdulillah. Pid tinggal kat Bukit Panjang. Saya pernah pergi rumah Pid naik basikal. Makan durian. Best sangat. Along anak guru disiplin. Along pandai matematik. Ya lah. Abahnya pun guru matematik. Masa Along tinggal di Gombang, saya adalah datang rumah Along. Masa tu ada kenduri. Tapi lepas tu Along satu family pindah Kesang. Sekarang Along mengajar kat Sekolah lama saya juga...Sekolah Tun Perak.
Kami berempat memang rapat sangat. Chik pandai mengaji. Selalu masuk musabaqah. Saya masuk syarahan. Kami selalu sama-sama wakil sekolah. Sama-sama kalah. Masuk kuiz sejarah sama-sama. Masa kuiz tu kami gelakkan ada peserta terkencing atas stage. Tak baik betul kan...
Setiap hari Selasa kami pergi kelas Usrah sama-sama. Hari Khamis kami pergi Qiamullail sama-sama. Belajar pun sama-sama. Semua kami buat sama-sama. Best.
Tapi semua tinggal kenangan....


Friday, June 12, 2009

Yang pelik

Mesti ramai yang tak pernah tengok pokok betik macam ni kan..... Inilah pokok betik gantung. Pokok betik ni tumbuh kat tepi rumah mak mertua kak cha. Indahnya ciptaan Tuhan.....


Thursday, June 11, 2009

Tetamu Senja - A. Samad Said

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

Wednesday, June 10, 2009

senjakala


Pembantu rumah

Masa baca suratkhabar tadi, saya terbaca kisah pembantu rumah yang didera dengan kejam oleh majikan yang tidak berperikemanusiaan. Memang kesian. Sampai melecur sana sini.
Pembantu rumah pun manusia biasa, ada yang bagus bekerja dan ada yang tak pandai langsung buat kerja. Biasanya jarang dapat yang sempurna. Sebagai majikan pandai-pandailah timbang kati dalam mengadap pembantu rumah yang tak berapa nak pandai ni....
Saya tak tahu samada saya yang terlebih cerewet atau memang nasib saya selalu dapat pembantu rumah yang bermasalah. Ada satu pembantu rumah saya dulu, suka sangat mengarahkan saya buat itu buat ini. Bawak lelaki datang rumah senyap-senyap la, hisap rokok, mencuri, asyik bergayut je kat telefon, pakaian pun alamak... . Cepat-cepat saya hantar balik. Rupanya-rupanya dulu makcik ni kerja GRO. Patutlah pun.
Kalau ikutkan geram dengan pembantu rumah memanglah sakit hati. Kita cakap sepatah dijawabnya dua tiga patah. Tegur sikit menjelingnya amboi mak! Bila kita suruh buat-buat tak paham je. Bila anak-anak saya minta sesuatu, dipandangnya budak-budak tu macam nak ditelan satu-satu. Bertuan kat rumah kita sendiri... Sebab itulah orang selalu kata, jangan bagi muka pada pembantu rumah, nanti dipijaknya kepala kita.
Pengajaran untuk saya, jangan terlalu berlembut dengan pembantu rumah. Tegas memang penting. Kalau perlu dimarah, marahlah. Tapi janganlah pula dipukul didera. Tidak menyelesaikan masalah.

Friday, June 5, 2009

Thursday, June 4, 2009

Tanda-tanda kanser...

  1. Pendarahan luar biasa atau terdapat lelehan daripada mana-mana bahagian badan seperti hidung, tekak atau telinga
  2. Perubahan dalam corak pembuangan air besar atau air kecil yang berterusan dalam jangkamasa 2-3 bulan
  3. Terdapat ketulan yang tumbuh secara tiba-tiba dan tidak hilang diikuti dengan rasa sakit
  4. Terdapat luka atau bisul yang tidak sembuh, semakin lebar, berdarah atau ulser di mana-mana bahagian badan
  5. Perubahan suara menjadi serak ataupun batuk yang berpanjangan melebihi 2 minggu ataupun batuk berdarah
  6. Senak atau berasa sukar untuk menelan air liur, sentiasa kenyang. Rasa sakit pada bahagian abdomen
  7. Rasa letih yang berpanjangan atau kehilangan berat badan yang mendadak dalam masa 3-6 bulan
  8. Perubahan pada kulit seperti tompokan, ketuat atau kutil mahupun tahi lalat semakin besar

Saturday, May 30, 2009

Sajak Melayu - Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba

Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka



Friday, May 29, 2009

hai makanlah lagi.......

Akhirnya dapat makan chilli crab sedap. Jangan mare..... cubalah restoran d'Qaseh di seksyen 13 belakang Tesco extra. 

Haaa... kaki ketam ni untuk ayun ye.... 

Tesco oh Tesco

Semalam saya ke Tesco. Lepas bayar tergerak hati nak check resit. Harga mainan Udin rm23 tapi dekat resit rm32. Saya pergi ke customer service, bagitahu ada kesilapan dan dapatlah balik duit rm10. Petang saya ke Tesco lagi sekali sebab Luqman nak mainan sama macam Udin. Lepas bayar, check balik resit. Masalah yang sama. Harga mainan rm44.03 tapi saya dah bayar rm62.10 untuk mainan Luqman. Sekali lagi saya ke kaunter. Staff pagi tadi masih bertugas. Saya bagitahu pada supervisor yang ada kat kaunter. Seorang perempuan  melayu. Tapi saya tak tahu dia faham atau tidak apa yang saya cakap. Dulu pun pernah sekali perkara begini berlaku ketika berbelanja di tesco. Permainan Luqman harga rm20+, tapi bila bayar jadi rm40+ pulak. Hati-hatilah bila berbelanja. Tak kiralah berbelanja di manapun. Pastikan Check resit sebelum balik. Sepuluh dua puluh ringgit bagi free kat Tesco tak ada faedahnya... tapi duit tu kalau kita sedekahkan kat orang susah, besar maknanya......

Restoran Mukmin

Minggu lepas makan kat Restoran Mukmin di Seksyen 19 Shah Alam. Sedap. Masakan Cina asli. Menunya banyak betul. Istilahnya pun semua bunyi-bunyi bahasa Cina. Akhirnya Kak Shima order mana yang waitress tu kata sedap. Nama menu tak tahu.... tapi memang sedap...





Ni tolong promosi Restoran Mukmin sikit lah
Nombor telefon : 0355492820
Add : No. 20, Jalan Nelayan B
19/B Seksyen 19, Shah Alam
Selangor Darul Ehsan

Dibuka dari jam 9.00am - 11.00pm

Halal