Saturday, January 2, 2010

 Sentuhan emas
Amelia


altered journals

Dengan muka tak malunya, saya ambil dua..... Kalau diikutkan hati tadi, saya nak ambil lagi. Tetapi mengenangkan yang dua ni pun saya 'masih berhutang', saya pun padamkanlah niat yang tak baik tu.... Cantik. Memang cantik. Saya sangat-sangat menghargai hasil kerja yang secantik itu. Saya dah capai pen terfikir untuk merasmikan notebook baru saya. Tapi akhirnya saya tutup balik pen sebab tak sampai hati nak melakar dalam buku tu.  Sebelum rosak ataupun disabotaj oleh si Udin, saya dah simpan elok-elok dalam kotak....kasi cantik-cantik.... sekejap-sekejap belek....belek lagi....belek lagi.... tak pernah puas. Betul. Thank you Ame.....

Friday, December 25, 2009

Setelah 29 tahun pemergian arwah
25 Disember

Allahyarham
Khairuddin bin Abd Aziz


alfatihah

"Ya Allah, moga Kau menerima segala amal kebaikan Allayarham semasa hayatnya dan mengampuni segala kekhilafan dan dosa. Tempatkanlah beliau di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal solleh. Amin. "

Semuanya terlalu sedih untuk dikenang. Walaupun setelah dua puluh sembilan tahun pemergiannya , kami tidak pernah melupakan arwah. Kami tak pernah lupa mengirim al Fatihah untuk arwah. Mengunjungi pusara arwah. Kami masih bercerita. Masih ketawa dengan jenaka lampau arwah. Masih kagum dengan sifat dan sikap arwah. Dan kami masih juga menangis di akhir cerita ..... kami masih menyayangi arwah walaupun jauh dibatasi bumi. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Thursday, December 24, 2009

Berkecil hati?
photo.jpg

Bagi saya, berkecil hati sesuatu yang subjektif. Tidak salah jika si Polan berkecil hati dengan si Polan. Si A berkecil hati dengan si B. Bagi saya ia lumrah. Kan setiap daripada kita ada perasaan. Bila tersentuh atau terguris perasaan kita.... berkecil hatilah akhirnya. Cumanya, bukankah kita sendiri yang mengawal perasaan kita. Hati kita. Lalu apa lagi yang kita harapkan bila kita berkecil hati. Diam.... walaupun bukan bererti lari dari masalah tetapi ia masih tidak menyelesaikan kekusutan. Berterus terang walaupun agak menyakitkan namun saya kira itu adalah penyelesaian yang terbaik.

Maafkan saya. Tetapi saya ikhlas. Berubahlah. Hargailah ibumu sementara dia masa ada.

(walaupun saya tahu dia tidak akan membaca entri ini......)


Saturday, December 19, 2009

Luqman nak masuk darjah satu
ibu dan abahnya yang berdebar

Seawal hari raya Aidiladha saya sudah membuat persiapan persekolahan Luqman. Maklumlah pertama kali membuat persiapan untuk anak ke sekolah. Luqman seronok betul bila dapat baju sekolah baru. Terus dicuba tak habis-habis. Sampaikan nak tidur malam pun nak pakai baju sekolah. Ish...ish...harap-harap waktu masuk sekolah nanti tak jadi terbalik pulak ya....

Tinggal beberapa perkara saja lagi yang perlu diselesaikan. Yuran dan buku-buku. Itupun tunggu semasa hari orientasi nanti. 21hb Disember. Berdebar-debar saya. Banyak perkara yang saya fikirkan. Tak apalah. Saya doakan Luqman cepat berdikari dan pandai membawa diri di sekolah baru nanti. Maklumlah sebelum ni di sekolah tadika, tak ramai. Semua pelajar sentiasa diberi perhatian, dimanja dan disayangi guru-guru. Sekolah tadika la katakan.....

Sekolah rendah lain. Kawan-kawan baru..... suasana baru..... guru-guru baru..... semuanya serba baru. Pandai ke nanti nak berkawan.... nak membeli di kantin.... Sedikit sebanyak saya cuba terangkan pada Luqman suasana di sekolah rendah. Supaya nanti Luqman tidak terkejut bila tiba-tiba berhadapan dengan situasi yang agak asing. Waktu persekolahan yang panjang dari pukul 7.30am hingga 4.30pm juga agak merisaukan saya. Larat ke nanti Luqman. Semoga semuanya berjalan lancar....

Belum apa-apa lagi Luqman dah beritahu saya "ma....nanti kan sekolah darjah satu cikgu dia garang..... betullll.... cikgu dia pegang rotan". Alamak!. "kalau Luqman baik....dengar kata...tak ada sebab cikgu nak garang pada Luqman. Cikgu garang pada pelajar yang nakal aje...." harap-harap Luqman faham maksud saya.

Untuk Luqman.... selamat menempuh alam persekolahan yang sebenar.....good luck dear!

Monday, December 14, 2009

buat yang memahami...
terima kasih



yang sentiasa di hati


Rumah abah dan emak di kampung..... rumah kampung yang biasa-biasa saja. Bukan rumah batu....bukan rumah banglo.... bukan rumah agam macam rumah orang lain. Binaan asal yang berusia 36 tahun masih abah kekalkan. Rumah abah dan emak tidak cantik di mata sesiapa pun...... tetapi ia cantik di hati kami adik beradik.

Pokok kelapa yang tinggi-tinggi melangit itulah kesayangan abah. Mak tebang satu....abah merajuk seminggu.... jangan diusik pokok kelapa tu melainkan dengan kebenaran bertulis dari abah. Emak dengan pokok bunganya. Jangan sesiapa berani usik pokok bunga emak. Kalau abah beli anak pokok durian belanda satu....emak mesti kena belikan pokok bunga satu. Bila pagi emak dan abah akan ambil peranan masing-masing bersihkan keliling rumah.

Banyak kenangan indah di rumah abah dan emak. Kenangan kami sebelas orang adik beradik dengan sepuluh orang menantu dan dua puluh sembilan orang cucu yang akan menjadi tiga puluh tidak lama lagi.....anak-anak angkat lagi. Anak angkat abah dan emak ramai. Dari projek Khidmat Masyarakat adalah lima orang agaknya. Belum lagi penduduk kampung yang mengaku dan memanggil abah dan emak....

Selalu sahaja ada musafir yang singgah "pakcik, boleh bagi saya air kosong segelas....." Bila hujan atau panas "pakcik, boleh saya tumpang teduh..." kesian. Nanti esok ada pulak yang datang "makcik, ada karpet tak pakai tak? Boleh bagi saya sekeping. Baru pindah...." Kadang-kadang kat rumah itulah cik Pakistan dan cik Myanmar yang berniaga tumpang simpan sekejap barangan jualan. Satu yang saya harapkan, keikhlasan abah dan emak tidak diambil kesempatan oleh sesiapa jua.... amin.

Saturday, December 12, 2009


Gift....
Cupcakes
yang cantik manis

Cupcakes yang cantik. Semua orang yang nak makan mesti tenung-tenung dulu.... emmmm. Sebenarnya cupcakes ni sempena kenduri sempena Aiman selamat berkhatan tadi. Tahniah abang Aiman.

biru

pink

ada tiga mini cupcakes dalam box ni....

Kesuntukan masa. Jadi kotaknya pun dihias simple saja. Nantilah tunggu Aiman bertunang nanti Acik Na buatkan yang cantik-cantik ye.....



Sunday, December 6, 2009


Bilik kerja
yang sangat menjengkelkan.....

Dari mana saya nak mulakan mengemas ni. Setelah meja kerja saya di'curi' untuk kegunaan lain (harap encik suami terasa dan terus belikan saya meja yang baru......) inilah kalau berpindah rumah kan. Saya harap sebelum mengemas, dapatlah anak-anak saudara saya yang sangat ramai itu mengofferkan diri mereka untuk tolong mengecat dinding bilik ini. Tepu pemandangan mata saya asyik memandang dinding warna cream sahaja.... Abah tolong belikan ibu cat kaler hijau yerrrr......



Ada lagi sedikit yang masih belum diangkut. Saya pun hairan jugalah, apa agaknya yang ada dalam kotak-kotak yang sebegitu banyaknya ini...Mungkin kerana saya dari golongan yang sayangkan semua barang-barang saya. Termasuk hartabenda yang telah melewati tarikh lupus.




Barang-barang inipun sebenarnya setelah melalui proses penapisan. Yang dah dibuang pun banyak. Yang masih elok tak apa disimpan. Bukan mintak dukung pun kan... esok lusa nak pakai senang. Itulah prinsip saya yang membuatkan rumah saya dipenuhi dengan barangan lama yang sudah boleh dibuat tukun.


Wednesday, December 2, 2009


Luqman
di
Al Ikhlas Graduation Ceremony




Pada 22hb November, berlangsung majlis penyampaian sijil sekolah Luqman. Tahniah buat semua pelajar tadika Al-Ikhlas. Penyampaian hadiah diselang selikan dengan persembahan para pelajar. Teruja saya melihatkan mereka membuat persembahan yang bukan saja menghiburkan tetapi semuanya sarat dengan pengajaran.

Luqman ketika menerima sijil daripada Puan Pengarah dan diperhatikan oleh Tuan Pengetua. Senyum la sikit Luqman.... dapat sijil kenalah gembira.....

Pesan ibu, Luqman jangan jemu menuntut ilmu. Belajar rajin-rajin. Tak kira besar nanti nak jadi apa, yang penting sekarang ni Luqman belajar bersungguh-sungguh. Jadi contoh yang baik pada Salahudin. Ibu dan abah sentiasa doakan kejayaan Luqman.

Terima kasih yang tidak terhingga buat guru-guru yang selama dua tahun mendidik Luqman sepanjang di sekolah tadika. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa guru-guru semua.



Sunday, November 8, 2009




musim banjir datang lagi...
semoga banjir besar 2007

tidak berulang

Bila datang musim tengkujuh, satu perkara yang mula-mula datang di fikiran saya adalah banjir. Semasa zaman kanak-kanak dahulu banjir adalah satu rahmat buat kami. Kami anak-anak bersorak dalam hati. Emak pula mulalah risau. Mana nak punggahkan barang......nak mencuci lantai selepas banjir lagi..... nak susun barang-barang ketempat asal lagi..... Tanah di halaman yang jadi lembik dan benyek lagi....macam-macam yang emak fikir.


Sungai kecil (kami panggil parit). Bila hujan lebat Air dari hulu sungai akan mengalir melalui parit ini dan terus ke muara. Air yang melimpah dari parit inilah punca banjir di kampung saya. Korek parit pun banjir...kalau tak dikorek lagilah dalamnya amboi.......

Tetapi banjir yang paling meninggalkan kenangan kepada kami adalah banjir besar Johor pada tahun 2007. Buat pertama kalinya selepas 100 tahun kawasan kami dilanda banjir yang sangat teruk. Ketika air mulai naik, emak dan abah serta Nanang berada di rumah saya. Baru lepas 'makan-makan' adik beradik kerana kebetulan Kak Shima pulang bercuti dari Sarawak.

Pagi lebih kurang pukul 9.00 pagi, makcik Senah (pembantu emak yang telah kami anggap seperti keluarga sendiri) menelefon menyampaikan berita yang agak buruk. Bila dapat tahu air dah naik sampai ke lantai, emak dan abah dah tak senang duduk. Kak Shima dan Abang Wan hantar emak dan Abah balik ketika itu juga.


Sesampainya di kampung, kak Shima telefon bagitahu yang seluruh Kampung Sawah dah dipenuhi dengan air macam lautan. Kenderaan dan orang ramai tak dibenarkan keluar masuk. Askar dan polis berada dimana-mana memantau keaadaan. Selepas berbincang dengan pihak tentera akhirnya mereka bersetuju membawa emak, abah, Kak Shima dan Abang Wan masuk ke kampung menaiki trak tentera tetapi tidak dibenarkan memasuki kawasan rumah.



Abang-abang askar ditempatkan dikawasan masjid sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kemungkinan banjir besar berulang lagi. Sungguh ramai dan hensem-hensem belaka.......

Emak dah gundah gulana. Bayangkanlah, dapur emak dapur bawah. Ruang tamu rumah atas berlantaikan papan. Semua perkakasan elektrik dari A ke sampai ke Z semua disimpan di bawah. Semua penduduk ditempatkan di pusat penempatan sementara. Oleh kerana emak dan abah tak mahu ikut balik ke rumah kami, terpaksalah tinggal di Dewan Serbaguna Pagoh. Abang Mustafa ambil alih balik ke kampung menemani emak dan abah.


Inilah suasana di kawasan pekan Pagoh ketika banjir besar 2007. Ketika ini air sudah mulai surut. Sewaktu mula-mula banjir, hanya kenderaan besar sahaja yang berani mengharungi air banjir ini.

Jalan ke Pekan Pagoh dari highway ditutup buat lalulintas kerana air yang sangat deras dan dalam. Sebenarnya tidak banyak kereta yang berani lalu. Tetapi oleh kerana nak menjenguk ibubapa di kampung, kuatlah semangat abang saya meredah banjir. Dan seperti yang dijangka, kereta pun rosak.......


Kenderaan yang membawa Datuk Nazri melawat pusat pemindahan. Mana pergi plat number? Sudah hilang dalam arus banjir sewaktu di Segamat.....

Kami tak putus-putus berhubung dengan pihak polis untuk mengetahui perkembangan banjir ketika itu. Saya juga tidak mahu ketinggalan menjenguk emak dan abah. Ketika kami sampai hari telah agak senja. Tetapi dapatlah kami merasa main air banjir yang paling glamour sekali...... sempat juga meninjau-ninjau pusat pemindahan banjir. Lawatan ala-ala YB la kan......

Kalau nak tahu kotor atau tak kotor air banjir ketika itu, tengoklah saja gambar ini. Bukan sahaja kalernya yang hitam legam tetapi baunya juga sangat harum semerbak......

Walaupun airnya kotor, tapi Luqman cukup suka lalu kat kawasan air banjir ni. Rasanya lima hingga enam kali jugalah kami berulang-alik nak bagi Luqman merasa lalu banjir besooooorrrrr kat Pagoh....... Sebenarnya air yang kotor ini hanya dikawasan pekan sahaja. Di kawasan kampung saya airnya cukup jernih dan bersinar-sinar....

Kemudian kami bergegas ke Segamat. Sempat lagi meninjau-ninjau bandar Segamat yang seumpama dilanda tsunami (over la tu). Peniaga semua muka sedih saja....... ye la habis semua barang-barang musnah akibat air kotor. Beras berkampit-kampit rosak tersedia untuk dibuang. Dicela-celah kampit beras, terpandang saya beras Sunwhite..... punyalah banyak....aduh, kalau bagi kat saya tu 2 tahun tak payah beli beras agaknya......


Selepas banjir...... kalau nak tahu ini adalah kedai di bandar Segamat. Kalau perhatikan betul-betul akan nampak paras air pada tiang tu.....

Walaupun ada pancemaran bau ketika itu....saya tetap meronda-ronda melihat suasana selepas banjir. Ye lah....bukan senang dak dapat jumpa suasana begini kan. Kedai-kedai kain sibuk melelong kain yang terendam. Kedai-kedai kasut pun sama. Kedai-kedai lain pun sama. Tetapi yang paling menarik perhatian saya ketika itu sehinggakan saya tercengang-cengang adalah apabila melihat pekerja pasaraya ******** sedang mencuci butter, coklat ****** dan banyak lagi baranngan lain untuk dijual semula setelah terendam di dalam air banjir yang kotor kehitaman dan berbau sangat wangi itu......

Inilah banjir yang meninggalkan banyak kenangan. Juga banyak pengajaran yang telah dikutip selepas banjir berakhir. Sekarang sungai dan parit sedah diperdalamkan bagi mengelakkan banjir. Harap-harap pembangunan akan lebih pesat tanpa mengabaikan alam sekitar......






mengajar anak-anak
bermesra dengan alam



Sebenarnya hati berbelah bagi, Bagan Lalang atau Pantai Remis. Itu sajalah pun pantai yang paling tidak jauh sekali........sekadar untuk membawa dua orang hero saya tu bermain-main dengan air di tepian pantai. Campur tolak kali darab bahagi akhirnya kami mengambil keputusan untuk ke Bagan Lalang.

Bagan Lalang terletak di daerah Sepang. Lebih kurang 50km dari Shah Alam. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam. Sepanjang perjalanan Luqman asyik merungut saja "tak sampai lagi ke abah....berapa minit lagi kita nak sampai abah.....jauhnya abah...." Aduhla budak ni....... Sampai tertidur dua-dua sekali.

Ketika sampai, air baru mula pasang. Luqman macam biasalah. Mula-mula takut-takut sikit. Lepas tu geli-geli sikit. Nak main di gigi air saja sebab takut dengan tsunami katanya. Walaupun sebenarnya tak adalah ombak pun. Bila dah boleh sesuaikan diri sikit...wah barulah nampak belang si abang ni. Asyik memujuk nak pergi lagi jauh...lagi jauh.....

Udin, macam biasalah. Ibu dan abah nak pegang tangan pun ditepisnya. Dalam air pun nak berlari. Tak larat nak berlari dalam air dia berjogginglah pulak. Lepas tu jadi ultraman pulak. Sampai jatuh tergolek tersembam dalam air. Tapi Udin mantain relax je jatuh pun. Sampaikan dijilat-jilat air masin tu. Sedap agaknya........ tak senonoh betul si Udin ni la.

Sebelum balik aktiviti bermain bubble. Penat berlari-lari mengejar bubble, kami pun balik ke rumah. Walaupun tak bermandi manda tapi penatnya bukan main lagi. Rasa memang puas hati sebab Luqman dan Udin seronok. Lepas ni saya kena selalu bawa anak-anak beriadah. Kotor sedikit tak mengapa sekurang-kurangnya mereka jadi lasak dan kuat.


Kalau ikutkan saya, besar nanti pergilah panjat gunung Everest tu...... pergilah belayar mengelilingi dunia..... buatlah apa-apa yang lasak sedikit.....lasak banyak pun tak mengapa.



Saturday, November 7, 2009


yang baik jadikan tauladan
yang buruk jadikan sempadan

Tersentuh hati saya bila membaca di akhbar baru-baru ini kisah seorang anak yang telah mengabaikan ibu bapa sehingga sanggup mengusir insan yang melahirkan dan membesarkannya. Agaknya ketika itu dia terlupa bahawa bukankah syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu......

Iktibar untuk diri saya sendiri sebenarnya. Untuk adik beradik saya. Supaya saya lebih menyedari peranan saya sebagai seorang anak. Iya lah, sementara mereka masih ada. Esok lusa bila sampai waktu mereka dijemput Ilahi, kita nak menyesal pun dah tak berguna kan. Ketika itu nanti keluar airmata darah sekalipun, masa tetap tidak boleh diputarkan kembali.

Ibubapa tak akan minta kita bayar balik kepayahan melahirkan dan membesarkan kita. Tapi kita sendiri dianugerahkan olehNya akal dan fikiran.......betul kan. Saya juga mempunyai anak. Semoga anak-anak saya kelak tidak lupa tanggungjawab mereka terhadap ibu bapanya.

Doa untuk ibu bapa;



Ertinya: Ya Allah! Ampunilah aku dan ibu bapaku, dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihaniku sejak kecil.



Monday, November 2, 2009



senja indah
senja di muara .......




siapa saja yang tidak sukakan senja kan.....
saya boleh dikira sebagai seorang yang cukup obses terhadap senja
apa saja tentang senja



sedih bila senja berlabuh pergi....
tapi takde la sampai menangis