Tuesday, October 13, 2009

Door gift - Armalia Enterprise


Hari Jumaat, saudara Azmi Mahat dari ACW telefon untuk door gift. Ada open house di rumah YB Datuk Rosnah, Timbalan Menteri Kesihatan. Antara dua hati....nak terima ke tak nak terima...400 banyak tu. 395 units untuk VIP dan 5 lagi untuk VVIP. Kalau untuk kerja kawin tu tak apa lagi. Open house tu hari Isnin. Alamak 2 hari je. Mana nak cari barang lagi...nak siapkan lagi.... waduh. Tapi saya nekad terima saja.... dan akhirnya ramai yang menjadi mangsa .... ya ampun.....

Langkah pertama saya telefon babyblu...partner paling sporting dalam dunia....macam biasalah kami keluar untuk cari gift VVIP dulu. Itu yang paling penting. Terima kasih Ame untuk idea keris tu...cantik ... lepas mintak tolong zetty untuk siapkan beberapa perkara lagi. Hari Sabtu pulak ayun dan ila temankan cari barang dan order cup cake. Petang pergi SSF beli segala macam keperluan lain. Ahad, ambil cup cake dan nak ambil bekas cup cake. Laa....barang pulak tak cukup. Maknanya sehari dihabiskan untuk mencukupkan bekas cup cake.

Ingatkan nak tukar bekas, tapi masalahnya nanti sama saja, nak dapatkan 400 unit dalam satu masa. Akhirnya plan asal diteruskan juga. Dan inilah hasilnya........







Inilah bekas cup cake yang cukup kontroversi. Punyalah susah nak dapatkan benda alah ni dalam kuantiti yang banyak. Tapi Alhamdulillah akhirnya Allah permudahkan juga. Jadilah akhirnya gift untuk VIP. Legaaaa..... Cuma cemas dalam hati samada pihak yang di sana suka atau tidak...dag...dig...dug





Ini pula gift untuk VVIP. Dalam keadaan yang agak blur, inilah yang terhasil. Terima kasih semua... Imas, chemong, kak cha dan semua yang memberi sokongan.





Kepada yang banyak membantu.... luv u all sangat-sangat.....
Juga buat Kak Rock dan Wan Intan dari AWC yang sangat penyabar dan baik hati.

Wednesday, October 7, 2009

cerita arwah embah Hassan Ahmad dan pencuri kambing

Abah banyak bercerita tentang arwah embah lanang (panggilan kami untuk arwah atuk lelaki). Arwah embah lanang lahir pada tahun 1898 dan meninggal dunia pada tahun1976, pada usia 88 tahun. Alfatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan tergolong dikalangan orang-orang yang beriman. Amin

Saya tidak berkesempatan berjumpa dengan arwah. Abah, emak, kakak-kakak saya dan abang-abang saya selalu bercerita tentang arwah embah. Tentang betapa baiknya arwah embah lanang. Karektor arwah selalu dikaitkan dengan watak Anjang Aki.

Ada satu kisah, walaupun kecil dan simple tetapi amat bekesan sebangai panduan buat saya. Ketika itu zaman Jepun. Keadaan ekonomi sangat teruk. Semua orang pun hidup dalam kesusahan.

Arwah embah lanang ada mengusahakan sedikit sawah padi. Ada dua sebab mengapa arwah memikul padi pulang ke rumah pada waktu malam. Sebab pertama kerana bimbang dilihat oleh tentera jepun. Sebab kedua tidak mahu dilihat oleh penduduk kampung. Maklumlah, berasnya cuma sedikit. Hendak dibahagikan sesama mereka tentunya tidak mencukupi. Kerana tidak sampai hati, arwah embah pun memikullah beras di malam hari.

Sesampainya di rumah, arwah mmendapati kandang kambing milik arwah terang. Bila arwah menghendap, didapati ada pencuri sedang melapah kambing. "Empun setonnggel mawon" Arwah berkata dalam bahasa Jawa halus. Maksudnya "cukuplah, seekor sahaja". Mungkin kerana terkejut ataupun malu, pencuri tersebut tergesa-gesa hendak melarikan diri. Arwah menahan..... "bawak dagingnya sekali, bawak.... makan-makan....saya ikhlas...."

Abah pula...mungkin mewarisi sikap dan sifat arwah embah - pernah suatu ketika abah mendapati pisang di kebun abah selalu sahaja dicuri orang. Satu hari abah menghendap nak tahu siapakah gerangan pencuri tersebut. Ketika itu abah ternampak orang asli sedang mencuri pisang. Abah biarkan sahaja sehingga mereka habis mencuri. Kata abah, "biarlah, cuma pisang aje... nanti kalau ternampak abah dia segan pulak..."

Kami anak-anak belum ada yang mewarisi sifat arwah embah lanang dan abah. Semuanya umpama sarang tabuan, tak boleh diusik pasti akan menyengat balik. Satu nasihat abah yang selalu saya pegang, biarlah orang buat kita, kita jangan balas balik sebab itu kerja Tuhan....


Thursday, October 1, 2009


Terima kasih Luqman......

Balik dari sekolah tadi, Luqman bersungguh sungguh mencari saya. "ibu....ini lagu untuk ibu....." Sekeping kertas putih, ada lirik lagu Airmata Ibu. lagu Siti Nurhaliza. "Teacher yang bagi......" katanya. Tak sabar, luqman terus ke komputer mencari di YouTube. Bila dah jumpa clip video lagu tu, tak habis-habis Luqman memanggil saya duduk disebelah.....


Apakah sebenarnya
Terbuku dikalbumu
Apakah erti linang airmata di pipimu

Ucapkanlah padaku
Tak bisa kurungkainya
Rahsia yang kau pendam itu

Aku hanya menduga
Tidak mampu merasa
Sebenar-benar perasaanmu

Pengorbanan yang kau lakukan
Untuk dewasakan ku
Pengorbanan yang kau lakukan
Untuk dewasakanku
Hanya bisa ditangguing oleh hati ibu

Namun kupercaya
Takkan terlerai kasih
Ikatan ini takkan putus

Telah kau telan lara
Dan terima segala
Dugaan dan badai yang melanda...
Duhai ibu

Sayang sekali saya tidak pernah menonton cerita tersebut. Akan saya download...... Nampak macam cerita sedih je. Saya ni kan ratu air mata.....jadi kenalah sediakan sekotak tisu sebagai persediaan.




Sedap lagu ni..... terima kasih Luqman.

Sunday, September 27, 2009

Aidilfitri dan kurma Safawi





Sedikit buah tangan ikhlas dari kami (kurma ni Wan yang bagi....tq Wan) Untuk saudara mara dan teman-teman yang datang berkunjung. Kurma Safawi sempena hari raya aidilfitri.

Memandangkan juadah yang pelbagai jenis dihidangkan di hari raya ini, eloklah kita mengambil buah kurma. Snek yang menyihatkan. Agar badan sihat sentiasa.... bertenaga....




Saturday, September 26, 2009


Aidilfitri....hari bahgia
hari yang mulia



Inilah emak dan abah kami. Kesayangan anak-anak dan cucu-cucu. Kegembiraan kami adik beradik adalah kegembiraan emak dan abah juga. Saya berasa sangat bersyukur kerana masih berpeluang berhari raya bersama-sama. Semoga emak dan abah dipanjangkan usia dan sentiasa diberkati hendaknya. Amin.




Bergambar beramai-ramai semasa hari raya pertama. Ada yang beraya di rumah mertua masing-masing. Yang atas kerusi roda pakai baju melayu merah tu acik Nanang. Anak mak dan abah yang paling bongsu. Kami semua sayang sangat kat acik Nanang.....




Bergambar beramai--ramai lagi sekali semasa hari raya ketiga. Semua anak-anak mak dan abah ada kecuali ayun. Tak semua ada dalam gambar sebab ramai sangat yang pemalu..... duduk tepi-tepi menyakat orang lain bergambar....... Udin tak boleh nak control lagi dah. Ish tepi la sikit Udin wei.....




Inilah anak-anak perempuan emak dan abah...... Yang pakai cermin mata sebelah mak tu Kak Noor. Anak sulung mak dan abah. Sebelah mak tudung pink tu Kak Maya. Wanita Melayu Terakhir. Anak mak yang paling lemah lembut sekali. Pijak semut pun tak mati. Duduk depan baju hijau kak Shima. Masa tu kami panggil dia Siti Nurhaliza sebab pakai tudung ala-ala Siti.... Yang tengah tu Kak Ani. Sebelah kak Ani, kak Gee. Atas yang baju oren yang perasan lebih tu yang empunya blog ni la.... dan yang baju purple tu kak Cha. Anak perempuan bongsu emak dan abah.



Wednesday, September 16, 2009



Budaya berhari raya di Johor
Marhaban





Di negeri Johor (saya kira di negeri lain juga ada ), aktiviti marhaban dari rumah ke rumah pada malam ataupun pagi aidilfitri adalah satu kemestian. kumpulan marhaban ini akan bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW beramai-ramai. Ada kumpulan yang disertai oleh kaum lelaki, kaum wanita dan juga kanak-kanak sekolah.

Selain daripada dapat mengeratkan tali silaturahim di antara penduduk kampung, ia juga memberi peluang untuk bersedekah. Derma yang disumbangkan oleh tuan rumah kepada kumpulan marhaban ini akan digunakan untuk kerja-kerja kebajikan dan pengurusan jawatankuasa kampung ataupun masjid.

Tuan rumah biasanya akan menyediakan sedikit jamuan ringan kepada ahli kumpulan marhaban ini. Ketika inilah kemeriahan dapat dirasai kerana inilah ketikanya anak-anak kampung yang merantau pulang kekampung dan peluang ini digunakan untuk bertemu kembali dengan sanak saudara dan rakan taulan.

Walaupun di sesetengah tempat aktiviti ini semakin berkubur, namun di kampung saya ianya terus disuburkan. Malah kanak-kanak telah diasuh dari sekolah rendah lagi untuk menyertai program marhaban anjuran pihak sekolah. Pendedahan ini dikira sangat penting sebagai kesinambungan budaya melayu yang semakin hari semakin hilang ini.

Monday, September 14, 2009



Salam Aidilfitri
Sembah salam penuh takzim dari saya dan keluarga

ilriz blogspot

Ada seminggu lagi sebelum satu syawal. Tidak terlalu awal rasanya kalau saya ingin memohon maaf kepada semua kaum keluarga juga teman-teman saya dan teman-teman blogger saya seandainya ada entry-entry yang membuatkan hati tersinggung... sekiranya ada, sesungguhnya saya tidak sengaja. maklumlah, saya ni tergolong dalam kalangan insan-insan yang selalu terlepas tutur kata.

Setiap gurauan saya mohon maaf andainya terlebih.... bila berbual maaf juga andainya terlepas kata. Saya cukup takut seandainya tutur kata saya menyingggung perasaan insan lain...tapi biasanya terlepas juga. Halalkan juga makan dan minum.....terima kasih yang tidak terhingga.

Semoga Allah merahmati Syawal kita kali ini. Moga mendapat keberkatan atas apa juga yang kita laksanakan. Sama-samalah kita bermaaf-maafan di bulan yang mulia ini. Bukankah memafkan itu sesuatu yang sangat indah.........

kalau ada jarum yang patah
jangan simpan di dalam peti
kalau ada silap dan salah
jangan simpan di dalam hati

Selamat hari raya aidil fitri
maaf zahir dan batin

dari pada :

Noorazmi Abdul Aziz
Maznah Moktar
Luqman Hakim
Salahudin Yusuf


Saturday, September 12, 2009

Biskut raya yang tak berapa jadi (memang tak jadi pun sebenarnya...)




Bukan sekali dua projek-projek mega di dapur saya tak menjadi.... emmm. Percubaan pertama membuat biskut nestum. Saya memilih untuk membuat biskut nestum yang ini kerana resepinya nampak mudah dan simple.... memang mudah. Yang susahnya hanya satu sahaja...susah untuk digigit.

Mula-mula bakar, biskut saya mengembang-ngembang. Setelah diubahsuai.... biskut tak mengembang tetapi mentah di dalam.... saya kerjakan lagi dan akhirnya beginilah rupa biskut nestum saya. Kalau tak punya semangat yang kuat jangan berani menjamah biskut ini.

Jadi, perhatian kepada tetamu yang akan datang ke rumah saya dihari lebaran nanti, kalau nak makan biskut saya ni boleh, tapi baca bismillah banyak2 kali ya....


Thursday, September 10, 2009

Tak ada kerja cari kerja


Inilah antara kerja orang-orang yang tak ada kerja.

Masih mencuba....dan masih terus mencuba....belum pun khatam-khatam lagi. Bilalah agaknya nak pandai ni.....

Buku ni bukan saja sesuai untuk kita... tapi juga untuk anak-anak yang baru nak belajar. Simple dan mudah difahami.

Bolehlah dijadikan aktiviti bersama anak-anak kita kan.... barulah meriah dan bersepah rumah kita. Sebenarnya ada banyak buku macam ni di pasaran. Kita cuba satu-satu.


Monday, September 7, 2009

Saturday, September 5, 2009

Tag mengetag - dari Ame


1. Anda rasa anda hot?

Hot?? ....Tu yang air cond siang malam pagi petang tak pernah off tu. Hot juga bila kena tengok tilam depan tv tu... huwwaaa... abah cepatlah angkat bawak naik atas.

2. Upload gambar kesayangan anda


3. Kenapa anda suka gambar ini?

Kalau nak tahu, inilah dua orang budak kecik yang kerjanya asyik bertukar character sekejap jadi ultraman sekejap jadi power rangers sekejap tu pulak transformers. Paling tak best ibunya pun kena lawan sekali tapi kena jadi rasaksa....pengsan. Buat sepah...ibu kemas...buat sepah...ibu kemas...buat sepah...malas dah ibu nak kemas...

4. Bila kali terakhir anda makan pizza??

Rasa-rasanya sebelum puasa haritu. Home delivery jer. Layan Luqman. Tapi ibunya yang makan lagi banyak la...

5. Lagu terakhir anda dengar??

Dendang Perantau

6. Apakah yang anda buat sambil selesaikan tag ini??

Dengar lagu raya sambil fikir apa lagi nak dibeli untuk raya ni.....

7. Selain dari nama anda sendiri, anda suka di panggil??

Acik Na
sebab insan insan yang menyayangi saya saja yang panggil saya acik na

8. Tag lagi 6 orang dengan senang hati..hehehehe

Noorazmi Abd Aziz
Luqman Hakim
Habsah Moktar
Hairul Moktar
Fardahila Omar
Lily Lidyani Ramli

*** siapa no1 kepada anda??

Yang paling dekat di hati saya. Sentiasa berada di sisi saya.... ketika saya berdiri mahupun jatuh tersungkur. Selalu membuatkan saya rasa sangat bersalah. Anugerah paling berharga Allah berikan buat saya.

***bagaimana pula no3??

Tempat saya berkongsai kisah suka dan duka. Terlalu mengambil berat tentang diri saya... Antara insan yang setia di sisi saya ketika saya memerlukan.

***pendapat anda pada angka 4?

Selalu membantu menyelesaikan masalah saya... tapi kita kena request sebab dia tak akan offer punyer...hahaha...Jangan mare apak nanti kena jual. Tak banyak kerenah. Gud...gud...

***kata sesuatu tentang orang no 2??

My little star....
membuatkan saya sentiasa gembira dan ceria. Cepat sedih sama macam ibunya. Buah hati intan payung pengarang jantung saya. PemberianNya yang paling berharga ....

***kata sesuatu tentang orang no 6??

Anak saudara saya yang paling tak leng long. Kerjanya soping je... tapi takpe. Acik na dah kena rasuah kasut cantek punye..... tq bila nak blanje lagi...

*** kata sesuatu tentang orang no 5??

Dari dulu sampai sekarang cool aje. Bom meletup ke... ribut taufan ke...dia tetap cool. Soft spoken. Lebih suka buat hal sendiri. Tak banyak cakap. Memang sesuai sangatlah dia dengan cik abang sayang nya tu...

hehe... bergurau senda di bulan ramadan
Thanks ame....

Thursday, September 3, 2009

10th wedding anniversary



4 September. Saya cukup bersyukur atas kebahagiaan rumahtangga saya. Alhamdulillah.

Terima kasih abah sentiasa berada bersama dengan ibu ketika senang dan susah. Diam tak diam, dah sepuluh tahun kan! Beruntung ibu dapat suami baik dan penyabar macam abah (suami orang lain pun baik jugak....) tapi abah yang paling baik....buat ibu dan anak-anak.

Bersyukur juga saya atas kurniaan paling berharga dari Allah kepada kami berdua...Luqman Hakim dan Salahudin Yusuf. Dua orang hero yang sentiasa membahagiakan hidup kami berdua. Ibu dengan abah sayang Luqman dan Udin.....sayang sangat-sangat.


Saya sentiasa berdoa, semoga kebahagiaan ini kekal hingga ke akhir hayat. Insyaallah. Semoga cik abang saya sentiasa sabar dengan kerenah saya yang tak pernah sudah.... Semoga keluarga kita sentiasa dirahmati Allah. Amin.


Tuesday, September 1, 2009

Rempah - Bandar Maharani




Saya meninjau-ninjau kedai menjual rempah di Bandar Maharani. Mencari rempah beriani. Ramai yang kata rempah beriani di Bandar Maharani sedap-sedap belaka. Saya ke kedai menjual rempah di jalan utama berhadapan dengan steysen bas Muar. Kedai M.R.S. Kasia Pillai. Ada banyak pilihan rempah di sini. Pilih saja mana yang anda suka.

Niat di hati hendak mencari rempah beriani paling sedap di bandar Maharani, di kedai runcit Hj Senan. Tapi sedikit kurang bernasib baik, yang tinggal hanya kedai yang hampir runtuh. Kurang pasti saya ke mana agaknya kedai ini berpindah. Dari jauh seperti ada kesan terbakar di bahagian dalam kedai. Mungkin juga rosak kerana terlalu lama terbiar..

Inilah kedai Runcit Hj Senan yang lama terbiar