Saturday, July 11, 2009

Untuk orang Melayu, yang sedang bercakaran beramai-ramai


Warisan

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap diarus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ketangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di Nusantara


Cakap pun tak guna...kita nyanyi aje lah


Thursday, July 9, 2009

Berakhirnya PPSMI - sirih pulang ke gagang


Akhirnya PPSMI dimansuhkan. Itulah yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ini bermakna, matapelajaran sains dan matematik akan diajar di dalam Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan. Manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan para pelajar akan diajar dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Perlaksanaan ini akan bermula pada tahun 2012 dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Selain memperkenalkan pendekatan baru untuk meningkatkan keupayaan para pelajar di dalam matapelajaran sains dan matematik, strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) dan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) akan dilaksanakan di semua peringkat persekolahan.

Dalam masa yang sama pelbagai perkara bakal dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kemahiran penggunaan Bahasa Inggeris dikalangan para pelajar kita. Sekalung penghargaan buat para pejuang bahasa Melayu yang tidak pernah berputus asa berusaha memartabatkan bahasa ibunda kita. Semoga kita akan lebih menghargai Bahasa Melayu selepas ini.



Wednesday, July 8, 2009

Buttered prawn



Rasa-rasanya dah lebih sepuluh kali mencuba. Masih gagal lagi. Macamanalah nak buat egg floss ni. Tak pernah menjadi. Jadi scramble egg le pulak. Chef Wan....tolonglah.....

Inilah resipi buttered prawn yang paling simple :

Udang - belah belakang
butter
minyak
tepung jagung - tak letak pun tak apa
daun kari - lagi banyak lagi sodap
bawang putih - cincang
cili padi - cincang
kuning telur - kacau sedikit
garam
gula


1. Lumurkan udang dengan tepung jagung dan garam. Goreng udang dalam minyak, ketepikan.
2. Cairkan butter dalam kuali. Setelah cukup panas, masukkan telur dan kirai menggunakan copstick(atau yang sewaktu dengannya). Masukkan cili padi, bawang putih dan daun kari. Masak sampai naik bau
3. Masukkan udang yang telah digoreng. Agak-agak dah sebati, angkat dan toskan.
4. Kemudian taburkan garam dan gula. Kalau nak gaul sekali pun boleh.

Monday, July 6, 2009

Keselamatan di taman rekreasi


Samada tak perasan atau buat-buat tak perasan...
Rasa-rasanya papan tanda yang ada cukup besar untuk dijadikan panduan bagi pengunjung-pengunjung di taman rekreasi Seksyen 27 Shah Alam. Tapi betullah orang kata, nak mendidik orang lain bukan kerja senang.
Motorsikal ke hulu ke hilir di laluan yang disediakan untuk pejalan kaki dan orang berjogging. Bila terserempak dengan penunggang basikal atau pejalan kaki atau kanak-kanak sekalipun, saudara-saudara yang bermotor ni tak adalah hati nak ketepi sikit ke.... parking pun sesuka hati je....
Semua pihak kenalah tahu tanggungjawab masing-masing. Elakkanlah perkara-perkara yang boleh memudaratkan orang lain. Kadangkala kita memang tak perasan tingkah laku kita sebenarnya menyusahkan insan-insan di sekeliling kita....


Papan tanda - ada larangan menunggang motorsikal. Dekat tepi playground tempat budak-budak main pun ada pengunjung parking motor.


Motor parking di laluan sebelah restoran


Motor ada di mana-mana di kawasan taman



Tuesday, June 30, 2009

Tanjung Puteri


Marilah orang Johor kita pakat dengar lagu ni. Tak cukup Johor kalau tak tahu nyanyi lagu Tanjung Puteri....





Friday, June 26, 2009

Ejawi online

!!!ڤڠعمومن
سکيراڽ اد سسياڤا يڠ هندق ممڤرکتيقکن کمبالي توليسن جاوي
تاوڤون يڠ تله ترلوڤا چيري-چيري توليسن جاوي،
ماريله کيت سام-سام بلاجر منوليس.

Sebenarnya nak test Ejawi online. Jom lah....

Thursday, June 25, 2009

Saat paling berharga



Kami sekeluarga memang rapat. Lapan orang perempuan dan empat orang lelaki cukup menggamatkan satu rumah abah. Rasa-rasanya kami yang perempuan ni lagi ganas daripada anak-anak lelaki mak dan abah. Jangan ditanya kerja siapa yang patahkan katil.... jangan ditanya siapa pulak yang patahkan kerusi...jangan ditanya siapa yang jatuh pokok jambu... jangan ditanya siapa yang ugut nak belasah anak jantan orang... jangan ditanya siapa yang goreng nanang dalam kuali... itu semua kerja anak perempuan mak dan abah.
Entahlah.... kalau nak dikira kami ni dah cukup feminin. Agaknya lah...
Masa berlalu. Bila masing-masing dah berkeluarga, masa agak terhad. Selalu kami rindukan zaman-zaman mandi kat air banjir...kat parit depan rumah. Zaman jaga kambing abah yang berpuluh puluh ekor dulu tu. Masa tu kalau berkumpul dapatlah berbual sepanjang-panjang hari. Tapi sekarang bila jumpa, baru nak berbual je anak dah menjerit.
Sekali sekala berkumpul, kalau boleh tak nak berpisah. Sibuk masing-masing kira hari bila lagi boleh jumpa. Sayang nak tinggalkan waktu dapat bersama-sama. Emmm...tunggulah raya nanti.



Monday, June 22, 2009

Tanjung Piai






Paling istimewa mengenai Tanjung Piai adalah, di sini penghujung benua Asia. Di sini jugalah terdapatnya hutan paya bakau yang terbesar di dunia. Berbagai spesis burung dan hidupan paya bakau di sini seperti ketam nipah, ikan tembakul dan kera pemangsa ketam. Tanjung Piai merupakan kawasan semulajadi yang dilindungi. Tanjung Piai terletak di Mukim Serkat, lebih kurang 90km perjalanan dari Bandaraya Johor Baharu. Terdapat restoran makanan laut yang dibina di atas jeti kayu. Memberi peluang kepada para pengunjung menikmati keindahan alam sekitar yang belum tercemar.



Happy Fathers day


Tiada kata secantik bahasa
Untuk ku puji kekanda
Tiada gambar secantik lukisan
Nak ku tunjuk perasaan

Oh... kanda puspa gemala
Mengharum jiwa
Hmm...

Oh... kanda puspa gemala
Mustika dinda...

Walau musim berubah
Suasana bertukar
Tapi ikatan mesra
Sikit pun takkan longgar

Tiada kata secantik bahasa
Untuk ku puji kekanda




Friday, June 19, 2009

Bila luqman menangis...

Malam tadi dua kali Luqman terjaga dari tidur, lepas tu menangis. Pagi ni pun waktu bangun dari tidur Luqman terus menangis. Saya tanya "Luqman sakit ke", Luqman kata tak. Saya tanya "Luqman ada nak apa-apa ke", dia kata tak. Saya tanya lagi, "Luqman sedih ke sebab ibu marah malam tadi?". Pun dia kata tak. Saya tanya Luqman nak pergi sekolah tak. Angguk kepala.
Sudahnya, sepanjang pagi ni hati saya tak tenteram betul. Macam-macam yang saya fikirkan. Luqman sedih kenapa... sakit ke... kecil hati dengan saya ke... ada masalah kat sekolah ke...
Luqman memang penyedih. Tapi tak pernahlah pulak dia menangis pagi-pagi. Makan roti sekeping pun lima belas minit tak habis. harap-harap balik sekolah nanti dia ceria. Ye lah dah jumpa kawan kawan.


Wednesday, June 17, 2009

Khasiat ulam

Ulam raja
Mengikut kajian, ulam raja mengandungi 3% protein, 0.4%lemak, karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.Ulam raja mengandungi klorofom yang yang mengandungi bahan yang dapat merencatkan kegiatan sesetengah bakteria dan kulat. Ulam raja digunakan secara tradisional untuk melancarkan peredaran darah, membersihkan darah dan menguatkan tulang. Ulam raja juga mempunyai keupayaan antioksidan yang amat tinggi.

Pucuk gajus
Pucuk gajus enak dibuat ulam. Ia membantu melambatkan proses penuaan, mencergaskan badan dan menghaluskan kulit. Ia digemari kerana baunya yang harum dan daunnya yang rangup apabila dimakan. Pucuk gajus juga mengandungi bahan antioksida. Kepada mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi, pucuk gajus amat membantu kerana ia dapat merendahkan tekanan darah.

Pucuk Pegaga
Pucuk pegaga kaya dengan vitamin A dan C serta zat besi. Daun Pegaga seringkali dijadikan sebagai ulam terutama oleh ibu yang sedang berpantang. Ia membantu mempercepatkan proses pengecutan rahim, melancarkan peredaran darah dan menurunkan paras gula di dalam darah.
Selain dari itu ia dikatakan mampu melambatkan penuaan dan menambahkan keserian wajah. Daunnya boleh dijadikan jus yang sangat berkhasiat.

Kacang botor
Kacang botor merupakan antara ulam yang amat popular di kalangan masyarakat Melayu. Selain kaya dengan vitamin A, zat besi dan kalsium, ia juga kaya dengan protein, karbohidrat dan fosforus. Daunnya juga elok untuk nutrisi, iaitu proses pemasukan dan pengolahan makanan oleh tubuh.
Daun kacang boor boleh dijadikan antara ramuan untuk membuat losyen. Manakala akarnya berupaya mengatasi masalah vertigo iaitu masalah gayat ketika berada di tempat tinggi.

Petai
Selain boleh mengatasi penyakit darah tinggi, petai juga dikatakan dapat membantu mengatasi masalah kencing manis, sembelit, anemia, kegemukan dan stress. Petai juga dikatakan dapat membantu individu yang ingin berhenti merokok, mencuci buah pinggang, mengelakkan penyakit jantung malah ia juga boleh membantu mengeluarkan cacing dari dalam perut kanak-kanak.

Jering
Jering walaupun rasanya agak pahit, ia masih menjadi antara ulam yang digemari. Oleh kerana jering agak rangup, ia dapat mambangkitkan selera makan. Jering mempunyai khasiat yang amat baik untuk pesakit kencing manis jika ianya diambil secara berterusan. Ini kerana kandungan sebatian alkoloid di dalamnya mampu maneutralkan kandungan gula dalam badan. Selain itu ia juga membantu melawaskan pembuangan air.
Namun begitu, untuk penderita penyakit gout, elakkan jering kerana ia boleh meburukkan lagi keadaan.


Puteri Gunung Ledang

Di dalam buku Sulalatus Al-Salatin (Sejarah Melayu) karya Tun Sri Lanang, diceritakan mengenai seorang Puteri yang tinggal di kemuncak Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik berasal dari kerajaan Majapahit.
Terpikat dengan kecantikan puteri tersebut, sultan Melaka ketika itu iaitu Sultan Mahmud telah mengarahkan Tun Mamat, Laksamana dan Sang Setia serta rombongan untuk meminang puteri Gunung Ledang. Tun Mamat akhirnya sampai ke sebuah taman yang indah dipenuhi dengan bunga-bungaan dan burung yang berkicauan. Kemudiannya beliau berjumpa dengan seorang nenek kebayan yang merupakan dayang kepada Puteri Gunung Ledang bernama Dayang Rani.
Puteri Gunung Ledang telah mengenakan tujuh syarat sekiranya Sultan Mahmud ingin memperisterikannya. Syarat-syarat tersebut adalah ;
  • 7 dulang hati nyamuk.
  • 7 dulang hati kuman
  • 1 jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 1 jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang.
  • 7 tempayan air mata anak dara.
  • 7 tempayan air pinang muda.
  • 1 mangkuk darah Sultan Ahmad, iaitu anak Sultan Mahmud Shah.
Tun Mamat mempersembahkan syarat-syarat tersebut kepada Sultan. Sultan Mahmud bersetuju dengn semua syarat tersebut kecuali berkenaan darah anaknya, Sultan Ahmad.



Tuesday, June 16, 2009

Istimewanya Johor

Seni dan Budaya

Zapin


Tarian Zapin merupakan tarian rakyat tradisional Johor. Ia dikatakan dibawa oleh para pedagang Arab pada kurun ke 14. Tarian Zapin ditarikan secara berpasangan dan berkumpulan. Muzik yang mengiringi tarian ini biasanya muzik yang rancak tetapi diiringi gerak tari yang sopan dan bertenaga. Tarian ini diiringi oleh alat muzik seperti gendangn, gambus, marakas dan rebana.Sehingga kini tarian Zapin masih lagi masyhur di negeri Johor.

Kuda Kepang


Kuda Kepang merupakan tarian ataupun permainan rakyat yang berasal dari Tanah Jawa. Ia biasanya dipersembahkan ketika majlis-majlis keraian ataupun perkahwinan. Peralatan muzik yang digunakan adalah gendang yang diperbuat daripada kayu leban dan kulit lembu, gong, angklung yang diperbuat daripada buluh dan rotan. Kuda yang digunakan semasa tarian diperbuat daripada kulit lembu.
Setiap persembahan dijayakan oleh 25 orang penari. 9 orang penari dan 5 orang pemain muzik. Bomoh pemulih seramai 2 orang dan selebihnya adalah penjaga kawasan.

Ghazal


Ghazal adalah muzik tradisional Johor. Peralatan muzik ghazal terdiri daripada harmonium, biola, gambus, tabla, tamborin, marakas dan violin. Keistimewaan ghazal adalah apabila ia bukan sahaja mengiringi majlis-majlis keraian tertentu, malah turut mendapat perhatian golongan Istana.

Hamdolok


Teater Hamdolok merupakan pertembungan di antara kebudayaan Melayu dan kebudayaan Arab. Hamdolok popular di daerah Batu Pahat Johor. Walaupun ia jarang sekali dipentaskan sekarang, namun hamdolok masih dipersembahkan ketika majlis-majlis keramaian dan ketika pertunjukan seni.
Hamdolok merupakan satu persembahan berbentuk jenaka yang dilakonkan oleh beberapa orang lelaki yang melakonkan watak jeneral, beberapa orang wanita dan pelawak.