Thursday, February 22, 2018

menjenguk blog usang

Assalamualaikum...

Nak masuk rumah kena lah bagi salam dulu. Lagi-lagi kalau rumah tinggal macam ni. Bukan sarang labah-labah aja, sarung ular salin kulit pun ada..... blog pun rupa gayanya dah tunggang terbalik. 

Azam tahun ni nak start balik berblog. Sendiri update sendiri baca pun tak apa lah! Blog Armalia pun dah lama tak update. Takpe.... pelan-pelan....

tu je....okbai


Wednesday, July 20, 2016

Umar bin Murshid @ Margono

 Perjuangan Allahyarham Umar bin Murshid atau lebih dikenali sebagai Margono bermula dengan penglibatannya di dalam pergerakan memperjuangkan kemerdekaan bersama Angkatan Pemuda Insaf (API). API  merupakan sebuah parti politik berhaluan kiri dan merupakan sosialis melayu yang turut berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris. API kemudiannya diharamkan oleh penjajah Inggeris pada tahun 1947 kerana didakwa telah melakukan banyak kekacauan serta penemuan buku Testament Politik API yang ditulis oleh Ahmad Boestamam. 
Allahyarham margono kemudiannya telah menjadi buruan pihak Inggeris. Pada tahun 1948, beliau telah masuk ke dalam hutan bersama teman-teman seangkatannya seperti Wahid  atau Hashim Suhaimi, Marzuki Hj Idris, Sakirin Danuri, Moktar Hj. Tahir dan Bawon. Dari dalam hutan beliau masih meneruskan perjuangan menentang penjajah dengan mendapatkan bantuan senjata daripada pihak komunis.
 Sejak itu, Margono menjadi buruan pihak polis. Pekeliling diedarkan dengan pemberian hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Margono dan menyerahkannya kepada pihak polis. Pada tahun 1957, setelah hampir sepuluh tahun berjuang dari dalam hutan, beliau akhirnya menyerah diri di Balai Polis Johor.   Margono kemudiannya dipenjarakan selama tiga bulan. Bebas dari penjara, beliau pulang ke kampung halamannya di Bukit Gambir.
 Margono akhirnya sekali lagi ditahan oleh pihak polis pada tahun 1958. Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan. Seterusnya beliau dibuang negeri di Selangor. Margono kemudiannya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Sekinchan, Selangor. Al-Fatihah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.


Inilah surat pekeliling yang mengarahkan Margono menyerah diri kepada pihak polis

Wednesday, January 20, 2016

cerita luqman & cerita coklat

Hilang... muncul... hilang balik... muncul balik... Waktu-waktu tak keruan macam ni memang bukak blog aja kerjanya. Luqman pindah sekolah. Duduk asrama. Dekat aja kat seksyen 11 tapi punyalah tak tentu hala macam anak tu pergi belajar kat London ke... dari rumah tak sampai 30minit pun. Cuma bila Luqman anak yang manja, sayu hati betul dia kena duduk asrama. Mintak nak balik. Itu yang maknya jadi tak stabil. Takpe... kuatkan hati kuatkan semangat. Insyaallah boleh terima suasana baru yang memang berbeza dengan kehidupan Luqman sebelum ni. Moga-moga.

Ok.... tu kisahnya pasal Luqman. Anak sulung. Manja. Sekarang kisah coklat pulak.

Berangan nak buat coklat sendiri kat rumah. Main terjah aja masukkan apa yang saya suka. Kacang... hazelnut, walnut, pecan dan almond. Cincang kasar-kasar lagi sedap (sebenarnya tak berapa nak rajin). Cairkan coklat tabur ikut suka nak rupa bentuk macamana.


Ini bahan asas. Sebenarnya kalau letak raisins lagi sedap. Tapi saya tak makan raisins. Jadi saya letak kacang aja. Banyak-banyakkkkkkk lagi banyak lagi sedap, insyaallah. 

Taraaaa.... ini versi tabur ikut suka hati. Oleh kerana kacang tu banyak, kenalah seal sikit atas tu dengan coklat supaya tak tercabut nanti. Kalau nak tabur lagi kacang atas coklat tu pun boleh. Nak buat lapis-lapis pun boleh.

Yang ini saya letak dalm cetak. Tengah-tengah letak wafer. Yang hazelnut. 

Bila buat sendiri ni, tak sedap pun kira sedap. Sebab kalau kita tak puji diri sendiri siapa lagi kannnnnn. 

Friday, May 1, 2015

Kenangan lama




Gambar lama yang menyimpan banyak kenangan. Saya tak ingat masa ni tahun bila. 
Dah lama sangat dah... 

Semoga kami sentiasa berada di dalam peliharaanNya di dunia dan akhirat, amin

Wednesday, March 18, 2015

Biar



Mata tua yang memandang aku itu
Bundar. Pudar
Dia tak mau bilang apa yang
Mencengkam jiwa usangnya
"Biar". Katanya 'biar"
Wahai ayahanda berhentilah walau sebentar
Dan renungkan mataku yang melaut
Khabarkan yang jujur dan ujar apa menyerabut
Wahai ayahanda bercukuplah menggagah tulang rapuhmu
Akukan lemahmu
Perikan penatmu
Kisahkan jerihmu
Aku mau tauMata tua yang bagai ada sakti dewa-dewi itu
Harum. Senyum
Dipukaukan aku nan terus terpana dan terdiamkan
"Biar". Katanya "biar"Wahai ayahanda bisikkanlah walau sekali;
Izinkan aku menumpangkan bahu
Berikan aku seperca dari beban kamu
Wahai ayahanda lihatkanlah aku berlari kini
Melompat tinggi
Setiapnya kerna kau tak pernah pergi
Apa masih ingat lagi aku suka lari-lari?
Kau bagaikan tak peduli ku biar kau patah hati
Apa masih tidak lupa tengking jerit sama-sama?
Makan tak mahu semeja, sahabat lebih berharga
Apa mampu kau sudikan ampun maafku sujudkan?
Bisa tidak kau teruskan ku sesat kau tunjuk jalan?
Apa layak aku bagi?
Tak terbalas sampai mati
Kau sungguh yang paling tinggi
Istanamu syurga nanti
Ayahanda beta
Kekasih beta


Lagu Biar dari saudara Fynn Jamal ni sangat mengusik hati saya. Mengingatkan saya pada insan yang tak pernah lekang dari hati saya, yang namanya tak pernah tertinggal dalam setiap doa saya... semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh arwah abah. Amiin
Al fatihah


Tuesday, July 1, 2014

Ramadhan ini

Salam Ramadhan.... Selamat menunaikan ibadah puasa dengan penuh tawadhuk. Dan semoga segala amalan kita memperoleh keberkatan di bulan yang mulia ini, amin.

Tahun ni persiapan untuk hari raya bermula agak lambat dan ala kadar sahaja, insyaallah. Sekadar menghormati pemergian adik ipar  suami  kembali menemui Pencipta pada 22hb Mei yang lalu kerana kemalangan jalan raya. Luluh hati melihatkan anak-anak arwah seramai 4 orang tidak termasuk seorang lagi di dalam kandungan,  menjalani kehidupan  tanpa seorang bapa.  Ketentuan Illahi. Tiada siapa menyangka apatah lagi menghalang. Al fatihah untuk arwah.  Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan hambanya yang beriman dan beramal solleh, amin.

Dan hari raya ini tentunya sangat berbeza, tiada teman meronda ke bandar Segamat mencari itu dan ini untuk persiapan hari raya.  Tiada lagi teman berceloteh di malam raya tak sedar  sampai ke pagi.  Tiada lagi markah untuk hidangan yang saya masak.  Al fatihah sekali lagi.

Tuesday, June 10, 2014

Terkenangkan abah

Ahad baru ni, 11 Syaaban, genap 2 tahun abah pergi menemui Pencipta. Al fatihah untuk abah. Sempat kami adik beradik buat bacaan yaasin dan tahlil ringkas dengan harapan dan doa semoga roh abah tenang di sana. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa dan khilaf abah. Semoga abah ditempatkan dikalangan hambanya yang beriman dan beramal solleh. Amin ya rabbal alamin.
Rindu pada abah.... :(

Wednesday, October 16, 2013

post tanpa tajuk

Abah,
kak na sangat-sangat memerlukan abah ketika ini..... :(

Tuesday, September 17, 2013

ok, kita gubah balik!

Lalu depan kedai dua ringgit, kaki ni terasa ringan la saja nak melangkah. Masuk-masuk terus mata tertumpu pada gelas kaca berkaki yang saiznya agak besar. Elok tinggal sepasang, saya pun belilah dua-dua sekali. Bekasnya dah ada, tapi tak sempat lagi saya nak mencari bunga. Apa lagi....saya pun kebaslah bunga dalam bilik tidur yang dah bertahun tak berubah bentuk susunan dan tak pernah berubah kedudukan. Pukul 5 pagi tau... sila bagi sedikit kekaguman yaaaaaa :)

Dah siap! Buat sementara waktu ni  saya letak atas meja makan yang memang sedia kosong. 
Elok la kan, tak cukup sayur, kita boleh ambik bunga ni buat ulam..... 

Habuk yang melekat kat bunga ni saya jentik sikit-sikit bagi terbang. Ada lagi yang tertinggal tu saja ja buat kenang-kenangan..... 

Ada lagi bunga yang terbiar belum sempat saya usik sejak dibawa pulang dari kedai. Tunggu la mood datang.... kalau dah angin rajin sampai tu tak kira bom meletup ke apa ke tetap nak buat. Kalau dah buat pun tak ada tempat nak letak jugak kan. Jadi, mulai sekarang saya kena iklankan... siapa nak bunga free? "Tolonglah terima bunga ni... percuma!!!, tolonglah"



Friday, September 6, 2013

Menterjemahkan kerinduan terhadap abah.....

Al Fatihah Untuk Abah

"Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku,
 serta berilah rahmat kepada kedua-duanya,
sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil, amin"




Andai ku tahu abah akan pergi.... takkan ku berjauhan dari abah walaupun sesaat. 

Takdir Allah mengatasi segalaya. Semoga Allah SWT mengampunkan segala kekhilafan abah dan menerima segala amal kebaikan abah semasa hayatnya, amin.

Aidilfitri 2013

Esok hari terakhir Syawal. Sementelah berangan nak bercakap sorang sorang kat blog yang serupa rumah tinggal ni, nak la juga saya post sekeping dua gambar Aidilfitri tahun ni. Maklumlah, sejak abah dan ibu mertua pergi keadaan banyak berubah. Semangat berhari raya tak sama macam dulu-dulu. 

Menziarahi pusara arwah menjadi rutin baru di hari raya. Insaf sangat-sangat saya insaf.... Namun saya masih bersyukur kerana abah pergi setelah 36 tahun saya diberi kesempatan olehNya untuk bermanja dengan abah. Selama 36 tahun saya merasa kasih sayang seorang abah. Dan abah pergi menemuiNya setelah Allah kurniakan saya tempat untuk mengadu dan bergantung. Alhamdulillah. Al-fatihah untuk abah, semoga abah sentiasa di dalam lindungan serta peliharaan yang Maha Esa, amin ya rabbal al amin.

Suka sangat la si Luqman tu bersampng senget.... 
Masa ni di Kemelah. Pagi hari raya pertama sepulangnya dari sembahyang sunat Aidilfitri.

Di Pagoh. Nadine sudah pandai beraya. Dalam ertikata lain, sudah pandai berangan.
Raya baru ni nadine macam tak ada mood.... asyik nak ibu ada depan mata.

Sempat juga potong kek sempena hari lahir Kak Gee. Semoga Allah SWT merahmati seluruh kehidupan Kak Gee dunia dan akhirat, amin.

Operasi membakar tunggul pokok kelapa yang hampir mencederakan kerta Pak Usu. Tunggul tu betul-betu terletak di tengah halaman. Oleh kerana agak 'jarang' nampak api, lalu berbondong-bondonglah kami semua kat keliling api tu. Ada yang start berlakon beraksi.... sukahatilah anak-anak sekalian!

Sebelum pulang, sempat lagi meraikan majlis perkahwinan sepupu, Ikin. Tahniah dik, semoga berbahagia dan rumahtangga kalian dirahmati Allah hendaknya. Dulu syurga di bawah tapak kaki emak, sekarang di bawah tapak kaki suami.... :))

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin

Thursday, January 10, 2013

Udin dah sekolah!!!!!!!!!

Akhirnya Udin pergi sekolah. Sejak Udin berusia 5 tahun lagi, puas kami pujuk supaya Udin pergi sekolah. Tapi kerasnya hati Udin ketika itu..... Tak mau sungguh-sungguh dia. Kami rasakan memang perlu untuk Udin awal ke sekolah, tetapi oleh kerana tidak mahu terlalu memaksa kami turutkan kehendak anak bujang sorang ni. Betapa mencabarnya melayan kerenah Udin, kesekolah dia tak mahu..... potong rambut dia tak mahu.... pegang pensil lagi lah sentuh pun tak nak......

Suatu ketika tiba-tiba Udin nak potong rambut, dengan syarat nenek yang potongkan dan tak pakai mesin potong rambut tu, Udin nak pakai gunting je! oklah tak apa asalkan Udin nak pun dah syukur Alhamdulillah. Haaaa..... ni masa Udin nak potong rambut :


Ini bila nenek dah potong. Tercengang-cengang Udin depan cermin tengok muka sendiri.....


Lepas tu, Udin nak pergi sekolah..... waahhhhhh baguslah Udin tiba-tiba pulak nak pergi sekolah. Masa pergi register tu, Udin asyik pandang je wajah Teacher Linda. Agaknya bila teacher layan baik-baik tu, Udin semakin bersemangat. Sehari sebelum ke sekolah, asyik pesan kat ibu dia, "ibu jangan temankan Udin kat sekolah tau ibu ...." Sambil seronok menulis dan melukis..... yeayyyyy..... Udin dah nak pegang pensil. 


Masa on the way pergi sekolah, lain pulak bunyinya, "ibu jangan balik tau...." Masa dah sampai pintu sekolah, ibubapa tak boleh ikut sekali. Jadi, Udin tinggallah di sekolah, ibu dan abahnya pun balik. Waktu ambil Udin balik tu hati berdebar-debar menangis ke budak ni.... mengamuk ke dia..... rupa-rupanya, ok lah tak menangis pun..... Alhamdulillah.


Harap-harap, Udin suka ke sekolah. Maklumlah, sebelum ni tak mahu langsung sebut perkataan "sekolah". Udin belajar rajin-rajin ye...... jadi anak yang baik. Saya katakan pada Udin, "Udin belajar rajin-rajin, mengaji pandai-pandai.... nanti Udin baca Al-Quran untuk atuk engan nenek, atuk dengan nenek pun dapat pahala tau"

Wednesday, November 14, 2012

Tiada lagi Ibu mertua.....

Lama saya tidak ke sini..... terlalu banyak perkara yang berlaku , ujian datang silih berganti. Setelah abah pergi meninggalkan kami adik beradik, kehidupan kami bertukar 180 darjah. Kesedihan bukan semakin hilang, sebagaimana yang kami harapkan. Malah semakin lama abah pergi, kerinduan kami semakin kuat dan rasanya seakan tidak tertanggung. Al Fatihah untuk abah.....

Saya redha dengan setiap ujian yang Allah SWT berikan. Belum sempat kering airmata kehilangan abah, emak mertua saya pula menyusuli pemergian abah...... empat hari sebelum hari raya aidilfitri. Al Fatihah untuk emak mertua tersayang.

Keadaan emak memang agak teruk sebelum kami menghantar emak pulang ke kampung. Puas kami anak-anak memujuk, emak tetap mahu pulang. Bimbang emak berasa hati, kami dengan rasa bersalah menghantar emak pulang ke Segamat pada hari Jumaat. Takdir Illahi, emak kembali kepangkuanNya pada jam 3.00 pagi hari Rabu, 15hb Julai 2012. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan hambaNya yang beriman dan beramal solleh, mendapat keberkatan dan perlindungan dari yang maha Esa, amin.

Kini saya hanya puya seorang ibu dan seorang bapa mertua..... semoga peluang yang Allah berikan ini tidak saya sia-siakan.....

Monday, July 30, 2012

Setelah abah tiada

Al Fatihah

Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, ku mohon Kau ampuni segala dosa abah, ku mohon Kau terimalah segala amal ibadah dan segala amalan kebaikan yang telah abah lakukan semasa hayatnya. Terangilah dan lapangilah abah di sana. jauhilah abah dari siksaan kubur dan siksaan api neraka.Tempatkanlah abah dikalangan hambamu yang beramal solleh. Tempatkanlah abah ke dalam syurgaMu ya Allah..... Ameen

Semuanya berlaku dengan sekelip mata. 30 Jun 2012, jam 10pagi, K cha menelefon saya "mak telefon, mak menangis abah pengsan kat laman". Pantas saya menemui suami yang sedang tergesa-gesa untuk ke pejabat. Kami ambil keputusan untuk pulang ke kampung ketika itu juga. Belum sempat mengambil walau sehelai baju pun, telefon berdering lagi, kali ni Zaki di talian, "kak na, abah dah tak ada...."

.........dan sejak dari hari itu, kami tidak lagi punya abah untuk  bermanja, untuk  berkongsi cerita. Kasih sayang kami anak-anak terhadap abah sangat tebal. Kami tahu, abah tahu kami semua sangat sayangkan abah. Kami melayani abah seperti menatang minyak yang penuh. Kasih sayang abah terhadap kami tetap kami rasai sehingga kini biarpun abah telah tiada.

Terima kasih abah atas segala segala pengorbanan terhadap kami, terima kasih juga abah atas limpahan kasih sayang abah yang tiada batasan untuk kami semua. Kami tetap menyayangi abah walaupun abah telah tiada. Tidak pernah walau sesaat kami melupakan abah. Walaupun kenyataan ini terlalu pahit untuk kami terima, kami tetap redha atas pemergian abah.

Segala kenangan bersama abah kami simpan rapi dalam ingatan kami. Hanya gambar abah yang kami tatap setiap hari untuk mengubat rindu. Kami merindui abah sangat-sangat........ sehingga ke hari ini air mata menjadi teman setia kami. Abah selalu mengajar kami menjadi insan yang kuat semangatnya, ya kami semua punya semangat yang sangat kuat, tetapi bukan untuk kali ini......

Abah, kami sayangkan abah, kami rindukan abah......

Monday, March 12, 2012

tentang emak......

Lama saya tidak menjengah ke sini.......Ini cerita tentang emak mertua saya yang sangat saya kasihi. Selepas berjaya menjalani pembedahan kanser payudara, emak kelihatannya bertambah sihat. Alhamdulillah. Mengikut jadual yang telah diatur oleh doktor, emak perlu menjalani rawatan susulan di National Cancer Institute, Nilai. Insyaallah rawatan radiotherapy emak akan ditentukan oleh doktor waktunya selepas temujanji pada 20hb March ini.
Saya akur pada ketentuan Illahi. Temujanji yang lalu, doktor mengesahkan kanser emak mertua saya telah kembali. Kali ini sel-sel kanser tersebut telah menyerang bahagian kulit dibawah pangkal lengan dan lebih menyedihkan menurut doktor, ia telah merebak ke paru-paru.
Semoga kesihatan emak bertambah baik. Semoga emak kuat melawan penyakit emak. Semoga emak sentiasa tabah...... kami mendoakan emak siang dan malam. Sayang emak!

Saturday, December 31, 2011

Selamat datang 2012

Esok, 1 Januari 2012. Meninggalkan 2011 dengan doa dan harapan untuk menjadi lebih matang dan paling penting menjadi insan yang lebih bertanggungjawab terhadap Yang Esa, suami, anak-anak, ibubapa, abang-abang, kakak-kakak, adik-adik dan seluruh keluarga saya. Lebih menghargai setiap insan yang sentiasa berada di sisi saya..... yang selama ini sangat menyayangi saya seadanya saya. Buat keluarga dan teman-teman yang sangat memahami dan mengambil berat, tiada yang lebih bermakna dari ucapan segunung terima kasih. Semoga Allah swt memberkati hidup kita semua dengan keredhaanNya, amin.

Friday, December 30, 2011

Alhamdulillah, ibu mertua saya selamat menjalani pembedahan semalam. Dengan faktor usia dan beberapa perkara lain sebagaimana yang dijelaskan oleh doktor sebelum ini, bohong kalau saya katakan kami sekeluarga tidak merasa bimbang dan gusar. Selain doa, hanya sokongan moral yang dapat kami berikan kepada emak. Pembedahan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah, dan sepanjang tempoh itu kami tidak senang duduk. Sekejap duduk, sekejap berdiri, sekejap lagi berjalan tetapi kaki tak tahu hendak kemana..... Syukur, prosedur pembedahan berjalan lancar. Emak dibenarkan pulang ke wad, dengan dua tiub disalurkan dari tempat pembedahan kepada dua beg plastik yang digantungkan di sisi katil. Menurut doktor, ianya untuk memgalirkan darah agar tidak menjadi beku di situ. Apabila darah yang mengalir itu bertukar kepada warna putih jernih, biasanya dalam tempoh empat hingga lima hari, tiub itu boleh ditanggalkan. Buat masa ini emak masih dibawah pengawasan doktor. Selepas ini emak perlu menjalani sessi fisioterapi sebelum dibenarkan pulang agar tangan kiri emak dapat berfungsi dengan baik. Kemudian dari itu, emak akan menjalani rawatan radioterapi pula..... semoga emak cepat sembuh, amin.

Thursday, December 22, 2011

Majlis Pertunangan Kak Long

Jadi tunangan orang sudah anak dara comel ni..... tahniah Kak Long. Sekarang ni berdebar-debar menunggu hari bersejarah pula, Insyaallah. Semoga segala impian menjadi kenyataan. Macam biasa, saya diamanahkan untuk membuat hantaran. 


 Kak Long aka Lily. Pertama kali saya lihat Kak Long berlipstick. Ngeeee... cantik anak sedara saya ni. Tahniah Kak Long. Muahhhhhh......


Hantaran dan iringan untuk pihak lelaki. Tujuh dulang berbalas sembilan dulang dari pihak kami. Selebihnya iringan untuk dijadikan buah tangan sepulangan dari Terengganu setelah berjalan jauh nun dari utara tanahair,  tanah kelahiran Raja Nazrin. 




Saya masih ingat lagi, masa tu anak saudara saya ni masih di kolej matrikulasi. Dengan gatalnya dia bagitahu saya "Acik, kak Long kawin nanti Acik buat hantaran Kak Long ye...." wahhhh tak padan baru 18 tahun dah very the verangan...... Dan bila nak bertunang tempohari, mek comel ni minta saya buatkan tema ala-ala lovely lace. Ok.... saya pun buatlah sikit-sikit sama, nanti kalau sebijik serupa kena saman pulak kan! Siapa nak menjawab?





Serba sedikit gambar hantaran yang saya buat. Nanti saya akan upload di blog Armalia gambar-gambar yang lebih jelas. Agak sibuk, tak sempat-sempat lagi untuk upload gambar-gambar yang lain (sebenarnya encik suami tak copykan lagi gambar-gambar tu...) 

Sekarang ni pula saya sedang sibuk menggentel bunga telur untuk majlis perkahwinan yang dijadualkan akan berlangsung pada awal February nanti. Konon-konon nak buat bunga dip. Tapi macam biasalah, kalau kerjatangan saya ni, macamnya tak menjadi aja.......  Kita tunggu nanti hasilnya.

Friday, November 18, 2011

Hanya doa

Awal disember, kemoterapi terakhir ibu mertua saya. Insyaallah, pembedahan akan dilakukan selepas itu. Bila waktunya masih bergantung kepada keadaan kesihatan ibu mertua saya. Semoga semuanya berjalan sepertimana yang dirancang. Kami hanya mampu berusaha dan berdoa, selebihnya kami serahkan kepada Allah SWT.
Terima kasih kepada insan-insan disekeliling saya yang sangat-sangat memahami dan banyak memberikan sokongan serta dorongan. Paling penting, terima kasih yang tidak terhingga atas doa yang dititipkan.....

Wednesday, November 9, 2011

Kitar semula



Baru saya terdetik dalam hati "jug air ni tahan betullah, dah dekat 10 tahun pakai tapi tak pecah-pecah pun....". Selang dua-tiga hari kemudian tangkai jug ni pun patah. Hmmmmm.... tu lah orang tua-tua ada kata "jahat jangan dimintak". Tapi sebenarnya jug ni memang dah lama sangat pun. Hari-hari pakai. Memang patutlah dia pecah. Sekurang-kurangnya dapatlah dia berehat!

Nak dibuang tak sampai hati, sebab tangkai plastiknya saja yang patah, kacanya elok lagi. Kebetulan adalah bunga yang tak berumah, apa lagi saya pun tonyeh je bunga tu dalam "pasu kitar semula" tu. Kalau tengok betul-betul dalam gambar, akan nampak mulut jug tu terjuihhhhhh...... :))) Sekarang ni saya tengah tunggu bila pulak alu lesung batu saya nak patah!