Tuesday, March 09, 2010
Bila Luqman bertanya......

Kelmarin di meja makan,  Luqman cakap pada saya, "ma, abang susah hati lah ". Saya tanya kenapa. Luqman kata "macamana kalau abah dengan mama mati cepat?". Alamak . Kenapa soalan ni. Saya katakan pada Luqman, "Luqman doalah mama dengan abah panjang umur. Dapat jaga Luqman...jaga adik....Dalam dunia ni, semua akan mati. Pokok mati....kucing mati...kita manusia pun akan mati"

Keesokan harinya, Luqman tanya perkara yang hampir sama. "Ma, macamana kalau umur kita berhenti?" Jawapan saya mudah "kalau umur kita berhenti, maknanya meninggal dunialah kita" Kemudian soalan bertubi-tubi diajukan kepada saya. Macamana caranya kita mati.... bila kita akan mati.... siapa diantara kami yang mati dulu..., nanti kemana kita selepas mati....nanti bila kita dah mati kita boleh sama-sama masuk syurga ke...Saya cuba beri jawapan yang agak ilmiah. "Luqman, itu semua kuasa Tuhan. Allah yang tentukan. Kita manusia tak tahu apa-apa tapi kita kena bersedia untuk mati. Kalau pahala kita banyak nanti dapatlah kita masuk syurga sama-sama. Tapi kan Luqman, Luqman tak boleh terlalu fikir sangat soal mati. Nanti Luqman susah hati dan fikir yang bukan-bukan pulak"

Sebelum perbualan berakhir, luqman sempat bertanya kepada saya, "ma, kalau mama, abah dengan abang mati dulu, siapa nak jaga adik?" Lepas tu saya nampak mata Luqman merah dan berkaca-kaca. "Kalau kita tak ada, kan atuk ada. Nenek ada. Mak dan bapa saudara Luqman pun ramai. Luqman janganlah tanya soalan macam ni lagi ye..." saya jawab. Lepas tu saya masuk bilik. Tidak mahu Luqman memanjangkan soalan.

Sebenarnya ia adalah soalan biasa bagi kanak-kanak seusia Luqman. Cuma bila Luqman terlalu memikirkan tentang mati dan terlalu emosi saya agak bimbang. Dan soalan-soalan itu pun tidak berhenti di situ sahaja. Malam sebelum melelapkan mata untuk tidur, Luqman bertanya lagi tentang itu.......

related posts:

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin